Ameen Product lebar pasaran ke luar negara tahun hadapan - Utusan Malaysia

Ameen Product lebar pasaran ke luar negara tahun hadapan

MOHAMED Irfan Amanulla Khan bersama produk pelbagai perisa dan pati minuman keluaran Ameen Produk Sdn. Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pengeluar minuman, pati dan kordial berperisa, Ameen Product Sdn. Bhd. di sini, yang akan menyambut ulang tahun ke-40 perniagaannya tahun depan, merancang untuk melebarkan pasaran produknya hingga ke Sabah, Sarawak dan Brunei tahun hadapan.

Pengarah Urusannya, Moha­med Irfan Amanulla Khan berkata, sejak ditubuhkan pada 1982, syarikat itu terlibat dalam pembuatan dan pengeluar minuman, pati berkordial dan pekatan berperisa seperti perisa anggur, laici, jagung, oren, sarsi, bandung dan sebagainya.

Menurutnya, produk Ameen terus mendapat sambutan daripada pelanggan dan kini terjual di hampir semua pasar raya utama di seluruh negara seperti Mydin, pasar raya AEONBIG, Jaya Jusco, Pasaraya TF, Speedmart dan mudah didapati di kedai-kedai runcit.

“Saya sangat gembira kerana Ameen Product Sdn. Bhd. akan menyambut 40 tahun perniaga­annya tahun depan selepas di­tubuhkan pada 1982.

“Bermakna sudah hampir 40 tahun Ameen menyediakan minuman, pati dan kordial berperisa untuk para pelanggannya.

“Kami mahu mengembangkan lagi pasaran kami sehingga ke Sabah, Sarawak dan Brunei, itu perancangan kami tahun depan,” katanya di sini.

Menurutnya, kilang Ameen Product di No.7, Taman Industri Ringan, Jalan Kastam di sini mampu menghasilkan 20,000 botol minuman, pati dan kordial berperisa sehari.

Beliau berkata, syarikat itu mempelbagaikan produk pekatan berperisa seperti perisa anggur, laici, jagung, oren, sarsi dan bandung yang digunakan di kebanyakan restoran, kantin, hotel dan isi rumah.

“Pekatan berperisa Ameen ini sangat sesuai digunakan sebagai minuman malah juga boleh digunakan sebagai pastri kek, nasi dan bermacam-macam lagi masakan.

“Para pelanggan boleh melayari laman web kami iaitu www.ameen.com.my atau di Facebook kami untuk mempelajari atau mencuba pelbagai resipi yang dihasilkan daripada produk Ameen.

“Bagi pekatan berperisa, kami ada dua perisa iaitu kordial berperisa oren dan mangga. Kordial ini sudah sedia dengan gula, sangat mudah dibancuh, cuma masuk ais dan sedia untuk diminum.

“Dua perisa ini boleh digunakan di rumah, boleh sediakan untuk tetamu yang datang ke rumah, nak bancuh dibuat air minuman, sangat-sangat mudah,” katanya.

Menurutnya, selain jualan di premis-premis perniagaan terkemuka, produk Ameen juga boleh didapati secara dalam talian menerusi aplikasi Shopee dan Lazada.

Beliau berkata, semua produk keluaran Ameen dihasilkan sendiri di kilang syarikat itu di sini.

“Kami tidak guna pihak ketiga untuk menghasilkan produk kami, jadi kami boleh jamin kualiti, halal dan toyyiban setiap produk yang kami hasilkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN