Al Rajhi Bank Malaysia laksanakan transformasi - Utusan Malaysia

Al Rajhi Bank Malaysia laksanakan transformasi

AL RAJHI Bank Malaysia menyasarkan untuk menjadi bank inovasi kewangan Islam terkemuka di dalam negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM) menyasar untuk menjadi bank inovasi kewangan Islam terkemuka di Malaysia menjelang 2023 dengan memacu inovasi pendigitalan.

Ketua Pegawai Operasinya, Arsalaan (Oz) Ahmed berkata, bank tersebut sedang melaksanakan transformasi yang akan memacu inovasi digital untuk memberikan akses mudah dan terus kepada pelanggan.

“Bank digital ARBM akan membezakan kami daripada syarikat teknologi kewangan (Fintech) dan bank yang lain.

“Kami telah melakukan pelaburan yang besar untuk membina infrastruktur dan asas bank digital dan kami berhasrat untuk mengganggu pasaran kewangan dan menjadi peneraju dalam perbankan digital,” katanya pada taklimat media mengenai pelan pendigitalan bank itu secara maya, semalam.

Ujarnya, dalam perjalanan transformasi ke arah inovasi pendigitalan, ARBM juga telah melabur dalam bakat dengan memantapkan barisan kepimpinan kanan untuk mengembangkan lagi perniagaannya di negara ini.

Selain itu, katanya, anak syarikat milik penuh bank Islam terbesar dunia, Al Rajhi Bank yang berpangkalan di Arab Saudi itu turut melabur dalam teknologi menerusi jalinan kerjasama strategik dengan peneraju industri untuk membolehkannya menampilkan produk terbaik dalam kelas yang memberikan akses lebih meluas dan mudah kepada pelanggannya.

Arsalaan memberitahu, peneraju industri tempatan dan antarabangsa itu akan memberi pihaknya fleksibiliti dalam meningkatkan keupayaan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

“Antara organisasi terkenal yang bekerjasama dengan kami ialah, Oliver Wyman, Amazon Web Services (AWS), Thought Machine, Feedzai, Green Dolphin dan Ova.

“Kami akan melancarkan bank digital pada tahun depan dan bercadang untuk memberi tumpuan dalam runcit dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Persaingan antara bank digital baharu dengan bank sedia ada dijangka rancak dan menarik dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang,” jelasnya.

Menurut Arsalaan, bank digital baharu yang berupaya menampilkan produk menarik dan memberi keyakinan tinggi kepada pelanggan akan mencetuskan persaingan sengit selain ancaman kepada bank sedia ada.

Beliau berkata, jika bank digital baharu gagal menampilkan produk menarik, mereka tidak akan menjadi menjadi ancaman kepada peserta bank sedia ada. Sebaliknya, bank sedia ada perlu bersedia dengan persaingan dalaman dalam saluran digital.

“Bagi prospek industri perbankan di Malaysia tahun depan, kami menjangkakan tinjauan yang positif, sekaligus menyokong lebih banyak sektor sejajar dengan pembukaan semula ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN