72,000 pelanggan TNB terima rebat bil elektrik - Utusan Malaysia

72,000 pelanggan TNB terima rebat bil elektrik

IR. BAHARIN DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan segera Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi rebat 100 peratus secara sekali sahaja (one-off) bagi bil elektrik Disember 2021 kepada 72,000 pelanggan domestik yang terjejas akibat banjir, didorongi rasa kebersamaan TNB dengan rakyat yang juga pelanggannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan dan pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekali gus ia adalah persetujuan bersama kerajaan bagi menyantuni mangsa banjir.

Kata beliau, warga kerja TNB juga adalah ahli komuniti dalam pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus sentiasa dapat merasai bersama perasaan rakyat yang juga pelanggan TNB.

“Pemberian rebat dan peruntukan yang disediakan sebelum ini mencerminkan nilai-nilai teras warga TNB termasuk keprihatinan, di samping rasa kebersamaannya dengan rakyat,” kata beliau dalam kenyataan.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan pemberian rebat itu kepada 72,000 pelanggan domestik TNB yang terjejas dilanda bencana alam di negeri-negeri terlibat dengan peruntukan kecemasan tambahan sebanyak RM9 juta.

Menurut TNB, baru-baru ini ia telah mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi tujuan kerja-kerja pemulihan di samping RM2 juta lagi dalam bentuk bantuan kewangan melalui Tabung Warga TNB Prihatin (TWTP).

Jelas syarikat utiliti itu, lebih 2,000 warga kerja TNB di seluruh Semenanjung berusaha memulihkan semula bekalan dan membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan aset bekalan TNB
(pencawang elektrik, kabel, tiang elektrik) yang terjejas akibat bencana tersebut.

Nilai keprihatinan warga kerja TNB turut mendorong syarikat utiliti itu menerajui inisiatif pemeriksaan pendawaian secara percuma bagi kediaman golongan B40 yang teruk dilanda banjir bagi meringankan beban mereka, kata Baharin.

“Langkah tersebut dalah satu daripada pendekatan untuk mempercepatkan usaha penyambungan bekalan elektrik secara selamat, sekali gus mencerminkan pula nilai mengutamakan pelanggan yang menjadi keutamaan TNB,” katanya

Dalam perkembangan berkaitan, Baharin turut memaklumkan sehingga pagi ini, lebih 90 peratus iaitu 1,973 daripada 2,110 aset bekalan elektrik TNB yang terjejas dan dihenti tugas sejak banjir melanda Sabtu lalu, telah dapat dipulihkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN