PETALING JAYA: UOB Malaysia (UOB) menjalinkan kerjasama dengan Plenitude Solutions dan Visa untuk membangunkan penyelesaian perolehan hujung ke hujung yang pertama di negara ini bagi membantu perniagaan tempatan mengurus kos dengan cekap dan meningkatkan produktiviti.
UOB Visa Payables Automation (VPA) membolehkan syarikat memperoleh barangan dengan penyelesaian e-perolehan Plenitude Solution dan membayar vendor mereka melalui akaun kad kredit komersial maya Visa UOB, walaupun vendor tersebut tidak menerima pembayaran kad.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, syarikat kini sedang meneroka pelbagai cara menggunakan teknologi untuk menyelaraskan proses operasi dan mengekalkan perniagaan mereka selepas pandemik Covid-19.
“Sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan semasa pandemik telah menyebabkan lebih banyak perniagaan mendapatkan sumber untuk stok dan bahan mentah secara dalam talian, dan kemudian menilai semula strategi rantaian bekalan kewangan mereka untuk menjimatkan masa dan kos.
“Apabila negara memulakan semula aktiviti ekonomi, perniagaan perlu meningkatkan penggunaan teknologi untuk mengurus aliran tunai dengan lebih baik sambil meningkatkan produktiviti untuk pertumbuhan berterusan.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Plenitude Solutions dan Visa untuk melancarkan suite VPA UOB bagi menyokong perniagaan dalam mencapai kecekapan yang lebih tinggi dalam pengurusan perolehan dan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Plenitude Solutions, Datuk Mohamad Razali Mohamad Rahim berkata, penyelesaian perolehan itu membolehkan perniagaan mengautomasikan proses pembelian mereka dengan mudah.
Ujarnya, perniagaan tidak perlu menulis berbilang cek ataupun menyesuaikan pelbagai syarat dan tarikh pembayaran kerana dengan menggunakan penyelesaian tersebut, mereka dapat membayar vendor menggunakan kemudahan kad kredit maya Visa.
“UOB Malaysia akan memudahkan penyelesaian tunai pada akhir bulan selain memberi diskaun kepada perniagaan ke atas pembelian mereka jika mereka memilih penyelesaian tunai segera,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, peluang besar wujud dalam ruang pembayaran perniagaan ke perniagaan (B2B) untuk menukar wang tunai kepada pembayaran digital terjamin.
“Banyak perniagaan di Malaysia mungkin tidak dilengkapi dengan penyelesaian yang berkenaan kerana mereka masih bergantung pada cara intensif pekerja dengan menggunakan wang tunai atau cek untuk membayar vendor mereka.
“Melalui penyelesaian kad kredit maya Visa, kami sedang mengubah cara perniagaan boleh membayar vendor mereka melalui cara digital.
“Matlamat kami di Visa adalah untuk bekerja dengan industri secara berterusan bagi membawa penyelesaian yang inovatif dan relevan yang boleh menyokong transaksi B2B dengan lebih baik,” katanya.
UOB VPA mengautomasikan proses pembelian, daripada meminta sebut harga dan mengeluarkan pesanan pembelian kepada pengeluaran invois dan pembayaran, sekali gus menawarkan kemudahan penyelesaian rantaian bekalan bersepadu sepenuhnya.
Perniagaan juga boleh menikmati kredit tanpa faedah bagi pembelian mereka dan melanjutkan aliran tunai sehingga 60 hari. – UTUSAN