Untung bersih Alliance Bank melonjak 66 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih Alliance Bank melonjak 66 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) bagi suku kedua berakhir 30 September 2021 (S2TK22), meningkat 66 peratus kepada RM172.74 juta daripada RM103.9 juta suku sama tahun lalu.

Menurut Alliance Bank, keuntungan selepas cukai bagi suku itu adalah disebabkan oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi dan kos kredit lebih rendah.

Bagaimanapun katanya, hasil bank turun kepada RM452.9 juta daripada RM474.45 juta sebelumnya.

“Sorotan suku utama adalah pendapat faedah bersih lebih tinggi sebanyak RM19.2 juta atau 5.7 peratus disebabkan oleh kos pembiayaan lebih rendah dan margin faedah bersih (NIM) lebih baik sebanyak 24 mata asas (bps) pada 24.7 peratus.

“Pendapatan operasi lain turun sebanyak RM40.7 juta peratus kerana pendapatan perbendaharaan dan pelaburan yang lebih rendah serta pendapatan pengurusan kekayaan.

“Perbelanjaan operasi meningkat sebanyak RM5 juta, kebanyakannya daripada kos kakitangan dan kos kredit bersih,” katanya dalam kenyataan.

Bagi separuh pertama kumulatif berakhir 30 September 2022 (1HTK22), keuntungan bersih Alliance Bank melonjak 53 peratus kepada RM315.75 juta daripada RM208.26 juta tahun lalu. Hasil kumulatifnya turut meningkat kepada RM935.94 juta berbanding RM896.05 juta sebelumnya.

Bank tersebut menjelaskan, peningkatan pendaftaran akaun bank Alliance SavePlus telah menyumbang kepada pertumbuhan deposit akaun semasa dan simpanan (CASA) yang meningkat sebanyak RM2.8 bilion tahun ke tahun.

“Itu menyebabkan nisbah CASA bertambah baik kepada 49.6 peratus dan kekal di bahagian atas industri.

“Kedudukan modal bank kekal kukuh kerana nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 berada pada 18 peratus dan jumlah nisbah modal pada 22.3 peratus. Nisbah perlindungan mudah tunai adalah pada 165.7 peratus,” katanya.

Bank tersebut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 8.3 sen sesaham, yang akan dibayar pada 30 Disember 2021.

Bagi prospek pula, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, Kumpulan itu akan menumpukan kepada mengembangkan perniagaan dalam tiga bidang iaitu meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan pengguna dengan melengkapkan pengurus perhubungan dengan peralatan digital untuk melayani pelanggan bernilai tinggi dengan mengembangkan pasukan komersialnya.

“Bank merancang untuk mewujudkan hubungan perbankan pengguna dengan 70 peratus daripada asas pemilik perniagaan dan menarik lebih 100,000 pelanggan baharu setiap tahun.

“Kami kini memberi tumpuan untuk membantu pelanggan memulihkan semula kedudukan untuk merebut peluang pertumbuhan apabila pasaran pulih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN