Takaful Malaysia menang anugerah takaful motor terbaik - Utusan Malaysia

Takaful Malaysia menang anugerah takaful motor terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd. (Takaful Malaysia) memenangi Anugerah Takaful Motor 2021/22, pengiktirafan tahunan yang dianjurkan oleh iBanding Services Sdn. Bhd. (iBanding).

Anugerah tersebut berdasarkan hasil penyelidikan meluas yang dilakukan oleh iBanding untuk menentukan senarai kedudukan syarikat insurans dan takaful berdasarkan maklum balas sebenar pengguna kenderaan bermotor Malaysia yang mempunyai polisi insurans motor sah.

Skor akhir dinilai berdasarkan pelbagai faktor seperti tahap kepuasan pelanggan, tempoh kesetiaan berurusan dengan syarikat serta pengalaman tuntutan. Lebih 5,000 rakyat Malaysia telah mengambil bahagian dalam kaji selidik tahun ini.

Pengarah iBanding, Luke Roho berkata, kedudukan syarikat insurans dan takaful motor membantu pengguna memilih syarikat yang sesuai untuk mereka.

“Sebelum Liberalisasi Tarif Insurans atau Takaful Motor, setiap syarikat menawarkan harga insurans yang sama, disebabkan penetapan harga oleh kerajaan.

“Hari ini, pengguna mampu mendapat penjimatan lebih 50 peratus jika mereka membuat perbandingan harga,” katanya dalam kenyataan.

Namun, ujarnya, harga yang termurah tidak bermaksud ia adalah yang terbaik. Syarikat juga kini menawarkan tahap perkhidmatan pelanggan yang berbeza.

Beliau menjelaskan, sama seperti senarai kedudukan hotel, senarai kedudukan yang pihaknya sediakan adalah telus di mana pelanggan boleh menilai syarikat yang mana menyediakan perkhidmatan cemerlang lima bintang, mana yang lebih murah dan hanya menyediakan perkhidmatan tahap satu bintang.

Luke memberitahu, pemenang anugerah itu benar-benar membuktikan bahawa mereka adalah syarikat yang terbaik di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Keluarga Berhad, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, pengiktirafan itu bukti bahawa nilai dan manfaat menarik yang ditawarkan secara konsisten kepada pelanggan mencerminkan persetujuan para pengguna mengenai jenama dan produk takaful motor mereka.

“Kami akan terus berusaha untuk menawarkan penyelesaian perlindungan yang kompetitif bagi memenuhi jangkaan mereka sebagai pengguna,” katanya.

Anugerah Insurans dan Takaful Motor tersebut ditubuhkan pada 2016 dan merupakan anugerah insurans dan takaful motor bebas pertama di Asia berdasarkan maklum balas pelanggan.

Penganjurannya adalah untuk membantu pengguna membuat pilihan syarikat insurans terbaik dengan memberikan maklumat terperinci yang telus dan neutral.

Selain membantu mencari syarikat insurans atau takaful terbaik, peserta juga berpeluang memenangi hadiah barangan elektronik dan baucar tunai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN