Serba Dinamik terlepas bayaran kupon untuk sukuk AS$300 juta - Utusan Malaysia

Serba Dinamik terlepas bayaran kupon untuk sukuk AS$300 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serba Dinamik Holdings Berhad terlepas bayaran kupon untuk sukuknya bernilai AS$300 juta (RM1.25 bilion) yang tamat pada 9 November lalu.

Kertas bon Islamik itu merupakan sukuk tak bercagar kanan tiga tahun dengan keuntungan tahunan 6.3 peratus yang boleh dibayar secara dwitahunan.

Tranche bon tersebut akan matang pada 9 Mei tahun hadapan.

Menurut kiraan yang dilakukan The Edge, pembayaran kupon yang perlu dilunaskan berjumlah kira-kira AS$9.45 juta (RM39.35 juta).

Menurut The Edge, difahamkan, kegagalan bayaran itu belum dikira mungkir memandangkan kovenan bon tersebut mempunyai tempoh tangguh selama 30 hari.

Walau bagaimanapun, sukuk tersebut mengandungi peruntukan kemungkiran silang dengan tranche lain untuk sukuk bernilai AS$200 juta (RM832.80 juta) yang akan matang pada 12 Mac 2025.

Kertas bon Islamik lain Serba Dinamik mempunyai kadar keuntungan tahunan sebanyak 6.997 peratus yang turut dibayar secara dwitahunan.

Sukuk AS$300 juta itu diterbitkan SD International Sukuk Ltd., anak syarikat tidak langsung milik penuh Serba Dinamik.

Serba Dinamik baru-baru ini terlibat dalam pertelingkahan undang-undang dengan Bursa Malaysia apabila syarikat minyak dan gas itu mengemukakan saman terhadap pengawal atur pasaran saham negara tersebut atas dakwaan bertindak di luar bidang kuasa.

Ia berikutan tindakan Bursa Malaysia menggantung dagangan saham syarikat itu.

Beberapa bulan lalu, Serba Dinamik terpalit dalam kontroversi dengan juruauditnya, KPMG yang menyebabkan syarikat itu kehilangan nilai dalam pasaran saham sehingga membawa kepada penggantungan dagangannya.

Terbaharu, syarikat itu memulakan tindakan undang-undang ke atas Ernst & Young Consulting pula yang didakwa memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) tanpa persetujuan dan makluman.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, saman tersebut dikemukakan kepada firma audit tersebut kepada Mahkamah Tinggi pada 5 November lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN