PNB lancar ASNB Wakaf - Utusan Malaysia

PNB lancar ASNB Wakaf

ARIFIN ZAKARIA (kiri) melancarkan ASNB Wakaf sambil disaksikan oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Daud Bakar dan Ahmad Zulqarnain Onn (kanan) di Kuala Lumpur, semalam. - GAMBAR/PNB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan perkhidmatan baharu iaitu Wakaf ASNB yang membuka peluang kepada para pelabur me­lak­sanakan amal kebajikan menerusi dana unit amanah ASNB mereka.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, ASNB adalah syarikat pengurusan unit amanah yang pertama dilantik sebagai mutawalli oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ujarnya, dengan pelantikan ini, ASNB memikul amanah untuk menguruskan dana wakaf itu sepenuhnya dengan tahap tad­bir urus yang tinggi dan profesional untuk kepentingan ummah dan masyarakat.

“Pulangan pelaburan yang dijana daripada dana wakaf akan disalurkan ke projek-projek wakaf dalam sektor kesihatan, pendidikan, pembangunan komuniti dan misi kemanusiaan.

“Penelitian projek yang sesu­ai perlu melalui proses penilaian dan pemilihan secara kolektif oleh Jawatankuasa Pengagihan Wakaf Bersama ASNB-MAIWP yang terdiri daripada pentadbir aset wakaf iaitu ASNB Wakalah Sdn. Bhd. (AWSB), MAIWP dan ahli bebas, juga berperanan sebagai penasihat bagi urusan berkaitan isu-isu hukum seper­ti kepatuhan syariah, polisi, program dan urus tadbir dana wakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan Wakaf ASNB yang mula ditawarkan pada 25 Oktober lalu sempena Minggu Saham Digital 2021 (MSD 2021), semalam.

Unit amanah yang diwa­kafkan oleh pelabur akan dike­kalkan sebagai pelaburan po­kok bagi menjana pula­ngan ta­hu­nan. Pulangan daripada pe­laburan pokok tersebut kemu­diannya akan disalurkan kepada projek-projek berkepentingan awam pada setiap tahun dan ia berteru­san walaupun sete­lah pelabur meninggal dunia.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn memberitahu, PNB menyokong usaha memperkasakan industri wakaf di Malaysia dengan menawarkan Wakaf ASNB sebagai satu inovasi baharu kepada rakyat Malaysia.

“Sepanjang MSD 2021, PNB menawarkan pelbagai program berkaitan pelaburan dan perancangan kewangan termasuklah pengurusan kewangan Islam seperti perancangan harta pusaka melalui Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah, zakat dan wakaf,” tambah beliau.

Pelancaran Wakaf ASNB telah disusuli dengan sebuah forum bertajuk “Wakaf – Faedah yang Berkekalan” yang menampilkan dua ahli panel iaitu Prof. Madya Datuk Dr. Izhar Ariff Mohd. Kashim dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, bersama moderator Ustaz Mohd. Hariri Mohamad Daud. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×