Peruntukan RM262 juta untuk peladang, petani - Utusan Malaysia

Peruntukan RM262 juta untuk peladang, petani

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan Anugerah Yayasan Pelajaran Peladang Tahun 2020 kepada Noor Aini Naili Noor Habib, sambil diperhatikan oleh Ronald Kiandee (kanan) dan Zamri Yaakob (kiri) di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, kelmarin. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM262 juta diperuntukkan kerajaan bagi manfaat peladang dan pengusaha tanaman sayur-sayuran mahupun buah-buahan yang terkesan terutama susulan kenaikan harga baja serta racun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, dana RM62 juta akan disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai tambahan ke atas peruntukan subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022 yang keseluruhannya berjumlah RM1.5 bilion.

Selain itu katanya, dana sebanyak RM200 juta sebagai pinjaman agromakanan pada kadar faedah sifar peratus di samping moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan di bawah Tabung Ekonomi

Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dan Agrobank bagi manfaat pengusaha tanaman sayur-sayuran serta buah-buahan yang terkesan.

“Bantuan tersebut diberikan sebagai respons awal bagi membantu pesawah yang terjejas ekoran isu ini. Saya telah menghubungi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan subsidi yang kita beri untuk harga baja dan racun masih tidak mencukupi kerana saya difahamkan NAFAS akan mengalami kerugian sebanyak RM200 juta.

“Justeru, saya telah maklumkan (Tengku Zafrul) bahawa kita perlu bantu NAFAS. Apabila kita bantu NAFAS, maka secara langsung kita membantu golongan peladang, petani, dan penternak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS Ke-47 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee; Timbalan Menteri 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri 2, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh serta Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi keluarga peladang termasuk isu peningkatan harga baja dan racun.

Beliau dalam masa yang sama mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk merangka dan memformulasi langkah-langkah mitigasi untuk menangani isu berkenaan.

“Kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif berasaskan input dan output dengan kontrak membekal dan menghantar input pertanian diberikan kepada NAFAS selaku badan induk pergerakan Pertubuhan Peladang yang menaungi 920,000 ahli di seluruh negara.

“Pemberian itu dilakukan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2023 dengan nilai RM1.82 bilion,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya