PUTRAJAYA: Penjana Kapital Sdn. Bhd (Penjana Kapital) memeterai penjanjian dengan AC Ventures, sebuah firma pelaburan modal teroka terkemuka di Indonesia bagi meneroka manfaat perniagaan dan pelaburan bernilai lebih AS$1 trilion (RM4.16 trillion).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, majlis memeterai perjanjian itu berlangsung di Jakarta, Indonesia bersempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke republik itu empat hari lalu.
Beliau berkata, AC Ventures adalah satu daripada lapan pengurus dana modal teroka yang terpilih di bawah Program Dana Penjana Nasional, sebuah program yang dikendalikan oleh Penjana Kapital.
“AC Ventures telah bekerjasama dengan Translink Capital dan Vertex Force untuk melabur di dalam salah satu dana oleh Dana Penjana Nasional, SEA Frontier Fund yang memfokus kepada syarikat pemula niaga Malaysia untuk, antara lainnya, menembusi pasaran Indonesia serta menjalinkan kerjasama di dalam ekosistem teknologi serantau.
“AC Ventures juga mempunyai portfolio hampir 100 syarikat dan telah melabur ke dalam syarikat pemula niaga terkenal seperti Carsome, Xendit, Stockbit, Eden Farm dan Ula.
“Saya mengalu-alukan keputusan AC Ventures untuk menguatkan kerjasama dengan Penjana Kapital dan melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Katanya, pelaburan itu amat penting untuk merangsang ekosistem industri negara dengan menggalakkan inovasi dan melengkapkan usahawan tempatan dengan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dan mencapai kejayaan terutamanya di Indonesia.
Tengku Zafrul berkata, menerusi pengetahuan industri tempatan yang luas dan rangkaian perniagaan yang besar oleh AC Ventures, syarikat pemula niaga Malaysia mempunyai peluang lebih baik untuk mencapai kejayaan dalam pasaran ekonomi Indonesia yang bernilai AS$1 trilion (RM4.16 trilion)
Menurutnya, melalui kerjasama antara Penjana Kapital dan AC Ventures, dana SEA Frontier Fund akan menggandakan usaha dalam strategi pelaburan yang tertumpu kepada syarikat pemula niaga yang ingin menjalankan perniagaan merentas sempadan serantau.
“Dana SEA Frontier Fund juga telah meraih komitmen daripada pelabur strategik asing termasuk sebuah syarikat konglomerat antarabangsa yang terkenal dari Korea Selatan,” katanya. – UTUSAN










