PETALING JAYA: Zurich Malaysia mengumumkan pelantikan Nazrul Hisham Abd. Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zurich Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful) berkuat kuasa serta merta.
Nazrul merupakan CEO bagi Zurich General Takaful Malaysia Berhad (Zurich General Takaful) sebelum bertukar ke peranan baharu di Zurich Takaful.
Beliau menggantikan Mukesh Dhawan yang telah meletak jawatan dan pengganti beliau bagi perniagaan takaful am akan diumumkan kelak.
Tanggungjawab baharu Nazrul adalah termasuk menerajui keutamaan strategik untuk mengembangkan dan mengukuhkan perniagaan takaful keluarga Zurich.
Nazrul bukan nama asing dalam industri dan memiliki lebih 25 tahun pengalaman dimana lebih sedekad adalah dalam industri takaful meliputi jualan dan operasi takaful keluarga dan takaful am.
Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, beliau mengalu-alukan pelantikan Nazrul sebagai CEO Zurich Takaful yang merupakan sebahagian perancangan penggantian dan memupuk bakat kepimpinan tempatan.
“Nazrul telah mengukuhkan kehadiran jenama Zurich General Takaful dan berjaya mengembangkan perniagaan walaupun berdepan cabaran pandemik.
“Saya ingin melihat beliau mengetuai pertumbuhan perniagaan secara mapan dengan memenuhi tanggungjawab kami selaras dengan tujuan kami untuk membina masa depan yang lebih cerah dan mengukuhkan lagi kedudukan Zurich Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Mukesh atas komitmen dan sumbangannya dalam membina perniagaan insurans hayat dan takaful keluarga sejak menyertai Zurich Malaysia pada Januari 2015. – UTUSAN










