PETALING JAYA: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) merekodkan penurunan hasil sebanyak 34 peratus kepada RM590.3 juta dan kerugian sebelum cukai sebanyak RM62.6 juta dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM190.4 juta dalam tempoh yang sama 2020.
Hasil yang lebih rendah disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang mengakibatkan penutupan tapak pembinaan antara Jun dan Ogos lalu.
Menurut MRCB, penutupan yang lebih lama berbanding tempoh sama 2020, telah menjejaskan rantaian bekalan bahan binaan seterusnya memberi kesan ketara kepada kemajuan sektor pembinaan yang telah pun terjejas akibat sekatan berterusan Covid-19 dan masalah kekurangan pekerja.
“Penyusutan dalam kerugian sebanyak 67 peratus adalah disebabkan oleh peruntukan RM197.4 juta yang dibuat untuk rosot nilai kontrak, perdagangan dan penghutang lain akibat wabak pada 2020,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, Bahagian Pembangunan & Pelaburan Hartanah merekodkan penurunan hasil sebanyak 29 peratus kepada RM345.9 juta dan penurunan 60 peratus dalam keuntungan kepada RM17.6 juta, berbanding RM489.4 juta dan RM44.4 juta masing-masing dalam tempoh yang sama 2020.
Hasil dan keuntungan yang lebih rendah sebahagian besarnya disebabkan oleh hanya 45 unit 1060 Carnegie di Melbourne, yang mencapai penyelesaian kewangan, berbanding 104 unit pada tahun lalu.
Tambahnya, kemajuan pembinaan yang perlahan akibat penutupan tapak dan sekatan di Malaysia, turut menjejaskan sumbangan daripada Sentral Suites di KL Sentral, pembangunan kediaman bercampur 9 Seputeh di Jalan Klang Lama dan Alstonia di Bukit Rahman Putra.
“Bahagian itu menjual hartanah bernilai RM165.2 juta dan mempunyai jualan hartanah tidak dibilkan sebanyak RM941 juta,” jelasnya.
Sementara itu, Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan & Alam Sekitar, merekodkan hasil sebanyak RM206.5 juta dan kerugian RM51.7 juta.
Tambah MRCB, projek LRT3 oleh Setia Utama LRT 3 Sdn. Bhd. (SULSB) (dahulunya MRCB George Kent Sdn. Bhd.), menyumbangkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM18.8 juta berbanding kerugian M1.6 juta pada 2020, disebabkan kemajuan pembinaan yang lebih tinggi.
“Berikutan pemerolehan baki 50 peratus ekuiti, SULSB kini miliki penuh dan anak syarikat tidak langsung Kumpulan, dan Kumpulan kini mendapat 100 peratus keuntungan daripada SULSB pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










