MPOB tawar kepakaran R&D - Utusan Malaysia

MPOB tawar kepakaran R&D

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengilang, pengeluar produk minyak dan lemak perlu memanfaatkan kemudahan loji rintis dan makmal canggih Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta kepakaran penyelidikan dan pembangunannya (R&D) dalam pembuatan minyak dan lemak.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB telah melabur dengan banyak dalam loji-loji rintis tersebut yang kebanyakannya terletak di Ibu Pejabatnya di Bangi.

Beliau berkata, penyelidik MPOB menawarkan kepakaran mereka dalam pembangunan produk makanan berasaskan minyak sawit dari aspek formulasi, pemprosesan dan pemeliharaan semasa penyimpanan dan pengangkutan.

Di samping itu, katanya, kepakaran mereka termasuk memperbaiki produk berasaskan minyak sawit bagi pengeluar sedia ada.

“Loji perintis dan kemudahan makmal MPOB juga disewakan kepada pengeluar untuk penyediaan sampel produk makanan berasaskan minyak sawit untuk pengembangan pasaran atau percubaan formulasi baharu atau menambahbaik formulasi.

“Kemudahan ini juga berguna untuk pengeluar minyak dan lemak bagi memformulasikan dan pengoptimuman proses,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Parveez berkata, loji rintis Perfector mampu menghasilkan marjerin berasaskan minyak sawit, termasuk marjerin meja lembut, marjerin bata, marjerin kek, dan marjerin untuk pastri; lelemak cecair dan pepejal; serta ghee sayur-sayuran.

“Pengilang makanan dari Syria, Pakistan, India, Turki, dan Sweden telah menggunakan formulasi makanan berasaskan minyak sawit yang dibangunkan oleh penyelidik kami.

“Formulasi ini terutamanya adalah produk seperti marjerin, minyak kelapa sawit, minyak sayur, ghee sayur (Vanaspati), pengganti lemak haiwan dan lemak konfeksi,” tambah beliau.

Beliau berkata, MPOB sedang dalam proses membangunkan kemudahan dan perkhidmatan R&D untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan syarikat pemula dalam teknologi di Malaysia yang seterusnya dapat menjadi ejen untuk menceburi pasaran yang lebih besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN