
MUKADIMAH
Permodalan Nasional Bhd (PNB) terus komited dalam memartabatkan pelaburan patuh syariah di Malaysia dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai firma pelaburan yang diyakini.
Justeru, pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pelaburan PNB yang telah difatwakan harus oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Ikuti temu bual wartawan, NURFARAHIN HUSSIN bersama Naib Presiden/Ketua Pengurusan Syariah PNB, DR. AHMAD BASRI IBRAHIM mengenai kepentingan pelaburan patuh syariah PNB bagi meningkatkan kehidupan bumiputera.
———————————————–
UTUSAN: Boleh ceritakan mengenai perjalanan pelaburan patuh syariah Permodalan Nasional Berhad (PNB)?
AHMAD BASRI: PNB telah diberi mandat untuk menstruktur semula jurang masyarakat bumiputera dan bukan bumiputera dalam pemilikan syarikat dalam negara. Kerajaan menyasarkan 30 peratus milikan bumiputera dalam syarikat pada 1990, namun sehingga kini belum dapat dicapai.
Justeru, Panel Penasihat Syariah (SAC) PNB ditubuhkan pada 2008 untuk meningkatkan standard piawaian patuh syariah dalam pelaburan sekali gus menarik lebih ramai untuk melabur. Ia khusus bagi memantau dan mengadakan mesyuarat secara berterusan untuk mencapai 75 peratus pelaburan patuh syariah mengikut spesifikasi Suruhanjaya Sekuriti (SC). Selain itu, jawatankuasa tersebut turut membuat saringan patuh syariah berdasarkan Maqasid Syariah.
SAC PNB yang kini dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar, merupakan badan berkecuali yang terdiri daripada ulama syariah, pakar undang-undang dan pengamal pasaran yang terkemuka.
Panel tersebut bersidang sebanyak empat kali setahun dan akan melakukan semakan semula status patuh syariah ke atas syarikat-syarikat pelaburannya setiap tiga tahun sekali dan semakan seterusnya ditetapkan pada 2023.
Apakah hukum pelaburan yang dijalankan PNB?
Hukum bagi pelaburan adalah berbeza mengikut Jabatan Mufti setiap negeri. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam kecuali Majlis Fatwa Selangor dan Pulau Pinang, telah mengharuskan pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) serta dana lain di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sejak 2008.
Mungkin timbul sedikit kekeliruan dalam kalangan orang ramai namun pada 2017, Majlis Fatwa kedua-dua negeri tersebut telah menimbang semula fatwa mereka dan mencapai persetujuan untuk mengharuskan pelaburan itu. Justeru, boleh saya katakan bahawa penawaran kami adalah 100 peratus patuh syariah.
Berapakah peratusan pelaburan patuh syariah dan saiz pasaran kini?
Setakat 31 Disember 2020, aset di bawah pengurusan (AUM) PNB terus meningkat kepada RM324.5 bilion dan pelaburan patuh syariah adalah 76.6 peratus setakat September 2021. Ia melepasi sasaran pelaburan patuh syariah terdahulu iaitu pada 75.5 peratus. Saiz pasaran pelaburan pula adalah RM366 bilion, sangat besar sehingga industri kewangan dan pasaran modal Islam masih tidak mencukupi untuk menampungnya.

Jadi, apakah kepentingan penyaringan Maqasid Syariah dalam konteks ini?
Saham yang masih belum disenaraikan sebagai patuh syariah mengikut penanda aras SC akan disaring semula mengikut proses tapisan Maqasid Syariah sebelum dibentangkan kepada SAC PNB untuk kelulusan. Syarikat akan melalui tiga peringkat iaitu proses kenal pasti sektor strategik, mengklasifikasikan syarikat kepada utama, teras dan perdagangan sebelum melalui proses saringan Maqasid Syariah.
Panel akan meneliti pemarkahan setiap syarikat seperti kadar hasil dividen, jumlah aset, ketua sektor dan saiz modal pasaran dalam proses klasifikasi syarikat. Selain itu, dalam proses saringan ketiga, panel akan meneliti sama ada syarikat tersebut memberi peluang pekerjaan terutama kepada bumiputera, mempunyai kepakaran tinggi, terlibat dalam sektor keselamatan termasuk media, makanan asas, hartanah dan lain-lain.
Terdapat lebih 900 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dengan keseluruhan saiz pasaran berjumlah RM1.8 trilion, tetapi hanya 70 peratus permodalan patuh syariah yang bersamaan dengan saiz pasaran berjumlah RM1.2 trilion.
PNB hanya akan melabur dalam syarikat tersebut setelah syarikat itu mendapat kelulusan panel SAC berdasarkan formula pemarkahan khusus.
Kebanyakkan syarikat yang tidak melepasi saringan SC bukan kerana isu aktiviti perniagaan seperti terlibat dengan arak dan judi, tetapi kerana nisbah kewangan mereka antaranya hutang dengan bank konvensional melebihi jumlah aset. Oleh itu, jangan salah faham sekiranya PNB melabur dalam syarikat tidak patuh syariah oleh SC.
Apakah usaha PNB dalam memastikan rakyat Malaysia terutama bumiputera mempunyai kesedaran terhadap kepentingan pelaburan?
Sebelum pandemik, Jabatan Pengurusan Syariah PNB sentiasa turun padang untuk memberi penjelasan tentang kedudukan kami dan secara umumnya, penerangan yang disampaikan diterima baik sekiranya dilihat pada jumlah hadirin yang berdaftar untuk produk-produk ASNB.
Memberi kesedaran adalah satu proses yang panjang dan aktiviti di lapangan ini akan diteruskan selepas keadaan pandemik semakin reda.
Selain itu, PNB juga menganjurkan Minggu Saham Digital (MSD) 2021 bermula 17 hingga 23 November ini yang mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan perancangan pelaburan dan kewangan melalui aktiviti interaktif, serta program hibur didik. – UTUSAN










