Konvokesyen: USIM rai 2,560 graduan - Utusan Malaysia

Konvokesyen: USIM rai 2,560 graduan

Majlis Konvokesyen Ke-19 akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, USIM bermula 23 November 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

Seramai 2,560 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM Ke-19 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Majlis berlangsung hingga 30 November ini dan dilaksanakan dalam lapan sesi bertempat di Dewan Tuanku Canselor, USIM.

‘Pandemik Covid-19 Pemangkin Prosumer Muslim yang Berdisiplin’ telah dipilih sebagai tema konvokesyen pada kali ini.

Majlis Konvokesyen ini merupakan konvokesyen secara fizikal sepenuhnya yang pertama diadakan selepas penularan pandemik kira-kira dua tahun lalu.

Majlis Konvokesyen dimulakan dengan Majlis Pengisytiharan Konvokesyen pada 23 November 2021 yang disempurnakan oleh Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

USIM dalam satu kenyataan berkata, pada majlis kali ini Tuanku Canselor berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat, Gelaran Profesor Emeritus dan anugerah kepada para graduan cemerlang.

Katanya, dua tokoh dalam lapangan masing-masing yang menerima Ijazah Kehormat ialah Datuk Baljit Singh Sidhu yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Undang-Undang dan Ramli Abdul Samad pula dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah).

Tambahnya, bagi menghargai sumbangan tokoh ilmuwan agung yang berjuang demi ummah dan agama Islam, Tuanku Canselor turut menganugerahkan Ijazah Kehormat secara Anumerta kepada bekas Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USIM, Allahyarham Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil.

“Bagi anugerah gelaran Profesor Emeritus, dua penerima tersebut adalah Profesor Datuk Dr. Mahmud Mohd. Nor, dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Profesor Dr. Bachok M. Taib, Fakulti Sains dan Teknologi”.

“Pada majlis yang sama, Tuanku Canselor juga akan menganugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Suwaibah Mustapha graduan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Muhammad Syamim Md. Morshid, graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko) dari Fakulti Sains dan Teknologi,” jelasnya.

Turut menerima anugerah dari Tuanku Canselor ialah Nur Alia Farisha Jemangin, graduan Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dengan Kepujian dari Fakulti Syariah Undang-Undang dan Muslimah Ithnin, graduan Program Doktor Falsafah Sains dan Teknologi dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, kedua-duanya menerima Anugerah Canselor.

Sehingga ke Majlis Konvokesyen Ke-18 USIM, seramai 27,837 alumni yang terdiri dalam kalangan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai-nilai luhur agama dan budaya telah dilahirkan yang dapat menyambung legasi USIM untuk berjasa dan berbudi kepada ummah, agama dan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya