Kadar pengangguran September 4.5%, turun 0.1% - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran September 4.5%, turun 0.1%

PEMBUKAAN sektor ekonomi secara beransur-ansur memberi kesan positif kepada kadar pengangguran negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran menurun kepada 4.5 peratus bersamaan 729,600 orang menganggur pada September lalu, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh bertambah baik pada bulan tersebut dengan bilangan guna tenaga yang terus meningkat manakala pengangguran dalam trend yang menurun.

“Peralihan lebih banyak negeri ke fasa berikutnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah membenarkan lebih banyak aktiviti perniagaan untuk beroperasi dengan waktu operasi perniagaan dilanjutkan.

“Di samping itu, kebenaran rentas negeri di kawasan Lembah Klang ditambah dengan pembukaan semula industri pelancongan domestik di negeri Terengganu dan Pulau Langkawi juga telah menggalakkan aktiviti ekonomi pada bulan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, semua situasi positif itu telah mendorong pasaran buruh untuk mendapatkan semula momentumnya dan kembali kukuh.

Jelasnya, kadar pengangguran pada September lalu terus menyusut kepada 4.5 peratus setelah mencatatkan 4.6 peratus pada Ogos.

Justeru, katanya, bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut berjumlah 16.19 juta orang, meningkat sebanyak 0.4 peratus berbanding Ogos. Selaras dengan itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat kepada 68.6 peratus.

Mohd. Uzir memberitahu, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.6 peratus bulan ke bulan mencatatkan 15.46 juta orang berbanding Ogos iaitu 15.38 juta orang.

Beliau berkata, nisbah guna tenaga kepada penduduk turut meningkat kepada 65.5 peratus daripada 65.2 peratus pada bulan sebelumnya.

“Sementara itu, bilangan penganggur merekodkan penurunan bagi bulan kedua iaitu sebanyak 2.6 peratus merekodkan 729,600 orang daripada 748,800 orang bulan sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada September meningkat sebanyak 11.6 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Secara bulan ke bulan, nilai tersebut meningkat 6.9 peratus berbanding Ogos dengan dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik (29.2 peratus) terutamanya dalam industri pembuatan kok dan petroleum bertapis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN