Jumlah jawatan berkurang 66,500 - Utusan Malaysia

Jumlah jawatan berkurang 66,500

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah jawatan dalam sektor ekonomi berkurang 66,500 jawatan atau 0.8 peratus pada suku ketiga tahun ini berbanding suku sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu berkurang daripada 8.47 juta tahun lalu kepada 8.41 juta tahun ini.

Kata beliau, penurunan itu menunjukkan permintaan buruh yang perlahan rentetan pelanjutan langkah pencegahan dan larangan merentas negeri pada suku ketiga tahun ini.

“Bilangan jawatan diisi juga mencatatkan penurunan sebanyak 0.7 peratus yang merekodkan 8.23 juta jawatan.

“Pada masa sama, bilangan kekosongan jawatan yang direkodkan ialah 174,000 jawatan, berkurang tiga peratus berbanding 179,300 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Mohd. Uzir, berbanding dengan tempoh sebelum krisis, bilangan kekosongan jawatan kekal lebih rendah daripada purata 200,000 kekosongan yang direkodkan sementara kedua-dua pengisian jawatan dan kekosongan jawatan masing-masing kekal pada 97.9 dan 2.1 peratus.

“Hanya sektor pembuatan sahaja yang mencatatkan peningkatan bilangan jawatan diisi pada suku ketiga dengan pertumbuhan 1.6 peratus merekodkan 2.19 juta jawatan manakala sektor lain masih menunjukkan trend menurun.

“Dari segi komposisi, sebanyak 4.32 juta (52.4 peratus) jawatan diisi adalah tertumpu di sektor perkhidmatan, diikuti pembuatan (26.6 peratus) dan pembinaan (14.8 peratus).

“Daripada keseluruhan jawatan diisi pada suku ini, sebahagian besar adalah kategori separuh mahir (5.14 juta) dengan peratus sumbangan sebanyak 62.5 peratus manakala kategori mahir merangkumi 24.7 peratus (2.03 juta),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir menjelaskan, lebih separuh daripada kekosongan jawatan tertumpu dalam sektor pembuatan yang merangkumi 56.9 peratus atau bersamaan 99,200 kekosongan jawatan, terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal (31,400), diikuti produk petroleum, kimia, getah dan plastik (18,200).

Kata beliau, sektor pertanian pula mencatatkan 28,700 kekosongan jawatan (16.5 peratus) sementara sektor perkhidmatan merekodkan 25,300 kekosongan jawatan (14.6 peratus) terutamanya dalam subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

“Mengikut kategori kemahiran, kekosongan jawatan dalam kategori separuh mahir menyumbang sebanyak 95,400, kekal sebagai komponen terbesar dengan peratus sumbangan sebanyak 54.8 peratus.

“Ini diikuti kategori mahir (42,100; 24.2 peratus) dan berkemahiran rendah (36,600; 21 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN