PETALING JAYA: Inflasi keseluruhan negara pada Oktober meningkat kepada 2.9 peratus berbanding 2.2 peratus pada bulan sebelumnya sementara inflasi teras meningkat sedikit pada 0.7 peratus berbanding 0.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Menurut Sorotan Bulanan Oktober 2021 Bank Negara Malaysia (BNM), peningkatan inflasi keseluruhan disumbangkan terutamanya oleh penamatan diskaun bil elektrik tiga bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Katanya, diskaun elektrik yang berakhir itu telah menyumbang 0.6 mata peratusan kepada inflasi keseluruhan.
Sementara itu, pertumbuhan eksport pada bulan tersebut turut meningkat sebanyak 25.5 peratus berbanding 24.7 peratus pada September, mencerminkan permintaan yang terus kukuh merentas produk dan pasaran eksport Malaysia.
“Pertumbuhan pembiayaan bersih meningkat sedikit kepada empat peratus berbanding 3.9 peratus pada September.
“Hal ini mencerminkan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang sederhana,” katanya.
Menurut sorotan itu lagi, pada Oktober, sentimen pelabur global didorong peningkatan jangkaan terhadap Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mula mengurangkan program pembelian asetnya menjelang akhir 2021.
Kesannya, kadar hasil bon global termasuk penanda aras kadar hasil sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun meningkat seiring dengan kenaikan kadar hasil Perbendaharaan AS jangka panjang.
Prospek pertumbuhan yang lebih positif untuk pasaran kewangan domestik itu juga digambarkan melalui sentimen pelabur di dalam negeri yang disokong suasana optimis berhubung prospek pertumbuhan dalam negeri susulan pelonggaran sekatan perjalanan merentas negeri dan antarabangsa mulai 11 Oktober lalu.
“Hasilnya, FBM KLCI meningkat sebanyak 1.6 peratus dan ringgit menambah nilai sebanyak 1.1 peratus berbanding dolar AS.
“Harga komoditi yang lebih kukuh turut memberikan sokongan selanjutnya kepada kadar pertukaran ringgit,” katanya.
Selain itu, sorotan tersebut turut melaporkan kedudukan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan disokong oleh pertumbuhan deposit yang berterusan apabila pada akhir Oktober, nisbah perlindungan mudah tunai sistem perbankan kekal kukuh pada 153.3 peratus. – UTUSAN










