PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) dianugerahkan Rakan Kongsi Institusi Kewangan Terbaik – Kategori Bank Komersial 2020 oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) di Majlis Anugerah FI & SME ke-26.
Majlis anugerah tahunan yang telah berlangsung sejak 1995 itu mengiktiraf institusi kewangan untuk pakatan strategiknya dengan CGC dalam membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan akses pembiayaan yang lebih besar.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, anugerah tersebut mengiktiraf penyertaan aktif HLB dalam skim pembiayaan CGC dan komitmen berterusan pihaknya dalam menyokong keperluan pembiayaan perniagaan PKS yang merupakan segmen pelanggan teras bank itu.
“Kami tangkas dalam bertindak balas dan menyesuaikan diri dengan pandemik sejak awal dengan pelbagai pelan pelepasan bayaran, bayaran balik serta skim pinjaman.
“Pihak bank turut serta membantu mereka untuk pulih dan melabur agar perniagaan mereka lebih mampan untuk pertumbuhan masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Sejak bank memperbaharui tumpuan strategik akar umbi dan berasaskan komuniti pada Ogos 2017, HLB telah membina 200 pasukan Pengurus Perniagaan Komuniti PKS di seluruh negara yang terus membina hubungan rapat dengan PKS dalam komuniti setempat mereka dengan mendengar dan memahami keperluan mereka yang pelbagai dan berbeza.
Inisiatif itu membolehkan bank membangunkan produk sasaran, perkhidmatan dan penyelesaian yang ringkas dan lancar untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada segmen PKS.
Hasilnya, dari Januari hingga Oktober 2021, HLB telah mengeluarkan pembiayaan baharu sebanyak RM5.328 bilion kepada pelanggan PKS, menyokong mereka semasa wabak dan sama pentingnya dalam fasa pemulihan kini.
Bagi PKS yang memulakan transformasi kemampanan mereka untuk beroperasi dengan kecekapan kos yang lebih tinggi serta memenuhi permintaan yang semakin meningkat, HLB turut memperkenalkan HLB SME Solar Financing, pembiayaan kemudahan tenaga hijau yang dibangunkan khas untuk PKS yang ingin memasang sistem fotovoltaik solar berskala kecil. – UTUSAN










