PETALING JAYA: Gagasan Nadi Cergas Berhad (Gagasan Nadi Cergas) memenangi kontrak bernilai RM33.9 juta untuk membina masjid di Merdeka 118, bangunan pencakar langit ikonik yang masih dalam pembinaan di Kuala Lumpur.
Nadi Cergas Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Kumpulan, telah menerima surat anugerah tersebut daripada PNB Ventures Sdn. Bhd. (PNB Ventures), pemaju Merdeka 118, untuk pembinaan dan penyiapan masjid berkenaan.
“Pembinaan akan dimulakan pada 1 Disember 2021 untuk tempoh 18 bulan dan dijangka siap pada 31 Mei 2023,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata, syarikat berbangga untuk memainkan peranan dalam membina kemudahan penting untuk salah satu menara tertinggi di dunia, pembangunan mercu tanda yang pastinya akan meletakkan Malaysia pada peta dunia setelah ia selesai.
“Kemenangan kontrak menyerlahkan reputasi dan rekod prestasi kami dalam industri, sebagaimana kami terus membuat kemajuan besar dalam mendapatkan kontrak daripada pelbagai pemaju perdana seperti PNB Ventures,” katanya.
Menara Merdeka 118 terdiri dari 118 tingkat, dengan lebih tiga juta kaki persegi ruang lantai terdiri daripada ruang pejabat Gred-A dan pusat beli-belah runcit.
Menjelang 2022, menara itu dijangka mencapai ketinggian sekurang-kurangnya 644 meter dan dijangka memintas Menara Shanghai setinggi 632 meter untuk menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia.
Dengan kontrak terbaharu itu, kontrak yang dimenangi oleh Gagasan Nadi Cergas untuk tahun ini berjumlah RM1.3 bilion. Ia termasuk projek rumah mampu milik daripada Paramount Corporation Berhad dan Kwasa Land Sdn. Bhd. di Lembah Klang, serta pembinaan Kampus MRSM di Dungun, Terengganu. – UTUSAN










