TAPAH: Walaupun tidak lagi mampu melakukan kerja berat, seorang bapa kepada enam anak di sini, tetap bekerja mengambil upah kerja kampung untuk menyara keluarganya.
Ayeop Ibrahim, 53, hilang upaya tangan kiri setelah terlibat kemalangan di tempat kerja pada 2018.
Dia kini tinggal di rumah keluarga isterinya di Kampung Baru Banir, Temoh di sini dan selepas kemalangan menimpa, dia hanya mengharapkan bantuan bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM300 sebulan.
Katanya, jumlah itu tidak cukup untuk menyara enam anak termasuk seorang anaknya berusia lima tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) menghidap autisme.
“Untuk menampung hidup, saya mengambil upah melakukan kerja kampung dengan upah RM50, selain itu isteri saya juga mengambil upah kerja rumah di kampung ini.
“Kami bertuah kerana ada anak saudara yang tinggal berdekatan sering menghulurkan bantuan,” katanya di sini, baru-baru ini.

Kampung Baru Banir, Temoh, Tapah, baru-baru ini. – UTUSAN/ZUID SAMSON
Menurut Ayeop, tangan kirinya hilang upaya selepas dihempap guni berisi batu seberat kira-kira 30 kilogram.
“Saya dirawat di Hospital Tapah dan doktor masukkan besi di tangan kiri tapi selepas tiga bulan, tulang tangan saya masih tidak boleh bersambung.
“Doktor sekali lagi melakukan proses simen, keadaan tangan saya masih sama,” katanya.
Lain pula halnya dengan pengawal keselamatan, Mohamed Zaki Mat Radzi, 47, di Kampung Serentang, Bidor dekat ini yang bakal hilang sumber rezeki apabila dikatakan akan diberhentikan kerja akibat Covid-19 selepas enam tahun bekerja.
“Sebelum ini saya penoreh dan pindah ke sini kerana mendapat kerja sebagai pengawal keselamatan. Sekarang saya risau mungkin tidak lagi bekerja selepas ini,” kata bapa kepada tujuh orang anak itu.
Mohamed Zaki menyara empat anak kandung, dua anak tiri, dengan isterinya seorang OKU.
Menurut Mohamed Zaki, dia ada membuat kerja sambilan membaiki mesin basuh dan peti sejuk, namun pendapatan berkurangan semasa Covid-19.
Sebelum ini dia boleh meraih sehingga RM1,000 sebulan tapi apabila larangan rentas daerah dilaksanakan, pendapatannya merosot, malah hendak dapat RM500 sebulan pun agak susah.
Ayeop dan Mohamed Zaki antara penerima sumbangan Jelajah Ikhlas Bersama CSR anjuran bersama Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR), Era Foods MY dan Media Mulia Sdn. Bhd (MMSB).
Dengan tagline ‘Berkongsi Kemanisan Rezeki’ melibatkan sumbangan kewangan, barangan makanan dan lain-lain, program itu menyasarkan kumpulan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 khususnya golongan B40 di seluruh negara. – UTUSAN