TOKYO: Seorang lelaki berusia 38 tahun di Jepun ditahan polis selepas didapati menipu sebuah aplikasi penghantaran makanan dengan memanfaatkan kelemahan sistem untuk menikmati lebih 1,000 hidangan secara percuma sepanjang tempoh dua tahun.
Suspek, Takuya Higashimoto dari Nagoya, Wilayah Aichi, dipercayai menggunakan helah memperdaya dasar pembatalan pesanan milik aplikasi penghantaran terkenal, Demae-can, sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat itu melebihi 3.7 juta yen (RM102,287).
Menurut laporan media tempatan, lelaki yang tidak bekerja itu menggunakan sebanyak 124 akaun palsu berdaftar dengan nama serta alamat rekaan bagi melaksanakan penipuan berkenaan.
Higashimoto turut menggunakan kad prabayar bagi mendaftar akaun sebelum membatalkannya beberapa hari kemudian, sekali gus menyukarkan pihak aplikasi mengesan aktivitinya.
Modus operandinya mudah, iaitu setiap kali membuat pesanan menggunakan pilihan penghantaran tanpa sentuhan, suspek akan mendakwa bahawa makanan tidak diterima dan menuntut bayaran balik.
Sebagai contoh, pada 30 Julai lalu, Higashimoto dilaporkan mencipta akaun baharu menggunakan nama serta alamat palsu dan berjaya memperoleh pulangan wang sebanyak 16,000 yen (RM442) selepas mendakwa pesanan ais krim, bento dan stik ayam tidak dihantar.
“Saya pada mulanya hanya mencuba helah ini, tetapi tidak dapat berhenti selepas mendapat hasil daripada penipuan tersebut,” katanya kepada polis selepas ditahan awal bulan ini.
Pihak berkuasa kini mendakwa Higashimoto bagi kesalahan menipu, manakala syarikat Demae-can pula dilaporkan sedang memperkenalkan sistem amaran baharu bagi mengesan aktiviti luar biasa dan mengelak kejadian serupa berulang pada masa hadapan. – AGENSI











