Bajet 2022: Tangani ketirisan hasil - Utusan Malaysia

Bajet 2022: Tangani ketirisan hasil

PERTUMBUHAN ekonomi negara dijangka terus kukuh pada 2022 selaras dengan pemulihan ekonomi global dan pelbagai langkah diambil oleh kerajaan. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera menangani isu-isu berkaitan pengurusan fiskal, terutama dalam soal ketirisan atau kehilangan hasil daripada cukai.

Ia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mengelakkan kebergantungan kepada berhutang dengan pihak luar, kata badan pemikir Datametrics Research and Information Sdn. Bhd. (DARE).

Malah, Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar turut menyarankan agar kerajaan menaikkan siling hutang statutori kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi membiayai peruntukan Bajet 2002 sebanyak RM332.1 bilion, yang terbesar dalam sejarah negara.

Beliau berkata, siling hutang itu dijangka dapat dikekalkan pada masa hadapan dengan unjuran perbelanjaan pembangunan kerajaan sebanyak RM400 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk menganjak ekonomi negara ke tahap seterusnya.

“Sementara perbelanjaan kerajaan pada skala yang begitu besar ini amat diperlukan dan tepat pada masanya bagi memulihkan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kita tidak mampu terus-menerus bergantung kepada pinjaman dana untuk membiayai pertumbuhan,’’ katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Pankaj, kini masanya lebih kritikal bagi kerajaan untuk memantau perbelanjaan dengan cermat dan menutup ketirisan hasil perolehan negara seperti ekonomi gelap yang bernilai RM300 bilion.

Kata beliau, aktiviti ekonomi gelap mengakibatkan kerajaan kehilangan sekurang-kurangnya RM33 bilion setahun dari segi hasil cukai yang tidak dikutip.

Menurutnya, kerajaan dalam Bajet 2021, mengumumkan langkah tegas bagi membanteras perdagangan haram rokok seludup, yang menyebabkan kerajaan kerugian RM5 bilion setahun dari segi cukai yang tidak dikutip.

Malah katanya, undang-undang melarang pemunggahan dan penggunaan bot kecil bagi mengeksport atau mengimport produk rokok telah berjalan baik bagi menurunkan
paras jualan rokok seludup buat pertama kalinya sejak 2015.

“Bajet 2022 pula tidak menyatakan sebarang perundangan khusus bagi mengekang ekonomi Gelap.

“Dengan sempadan kini dibuka dan rentas negeri dibenarkan semula, kerajaan menerusi agensi penguatkuasaannya hendaklah lebih waspada di dalam usaha mengekang perdagangan pasaran gelap seperti jualan rokok seludup, yang dijangka meningkat lagi disebabkan penurunan pendapatan ramai rakyat akibat Covid-19,’’ jelas beliau

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Akta Tanggungjawab Fiskal perlu dibentangkan dengan segera untuk menjamin kedudukan kewangan negara yang sentiasa terpelihara..

Kata beliau, ia antara langkah yang boleh diambil kerajaan untuk mengawal defisit fiskal dan saiz hutang negara.

Ia susulan kebimbangan beberapa pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang saiz hutang negara yang bertambah selepas kerajaan meningkatkan had siling hutang serta berbelanja banyak untuk menyokong pemulihan ekonomi negara dalam Bajet 2022.

Jelas Mohd. Afzanizam, akta tersebut menjadi titik permulaan ke arah pengurusan kewangan serta dasar fiskal yang lebih telus dan berdisiplin oleh kerajaan.

“Perkara ini sekali gus dapat mendatangkan keyakinan dalam kalangan pemegang taruh seperti pelabur, peniaga serta rakyat Malaysia amnya.

“Selain itu, ia mampu mengelakkan risiko penurunan penarafan kredit berikutan komitmen yang tinggi oleh kerajaan untuk memperbaiki kedudukan kewangan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pembentangan Bajet 2022 minggu lalu, kerajaan memperuntukkan 13 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan berjumlah RM332.1 bilion untuk bayaran khidmat hutang, yang merupakan sebahagian daripada perbelanjaan pengurusan negara dalam belanjawan tersebut.

Berkenaan dakwaan kerajaan boleh bankrap akibat kadar hutang yang tinggi, beliau menjelaskan tanggapan tersebut kurang tepat sebaliknya konteks bankrap yang dimaksudkan lebih menjurus kepada risiko negara kehilangan kedaulatan kewangan.

Jelas beliau, ia boleh berlaku sekiranya kerajaan terpaksa meminta bantuan daripada institusi seperti Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan Bank Dunia kesan daripada kadar hutang yang tidak terkawal.

“Sekiranya ini berlaku, kedaulatan negara bakal terjejas kerana terpaksa akur dengan syarat-syarat yang ditetapkan IMF dan Bank Dunia bagi mendapatkan pinjaman daripada mereka.

“Syarat seperti menaikkan cukai atau mengurangkan perbelanjaan mungkin diutamakan. Mungkin inilah konteks “bankrap” yang dimaksudkan,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN