Aplikasi pengeditan video pemasaran digital - Utusan Malaysia

Aplikasi pengeditan video pemasaran digital

APLIKASI InShot turut menjadi pilihan ramai pe­ngusaha kecil dan sederhana untuk memasarkan produk mereka secara online. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemasaran kandungan merupakan strategi penting kepada perniagaan pada hari ini bagi memastikan daya saing untuk terus berkembang maju. Antara elemen yang turut menjadi faktor pengisian kepada prospek pelanggan melalui pemasaran digital dan media sosial adalah penciptaan kandungan video yang dapat menarik perhatian audiens dalam menyokong kempen pemasaran dan promosi.

Seiring dengan kemajuan digital, pengeditan video turut membuka ruang yang lebih luas dalam penawaran pelbagai pilihan kepada pengguna maya. Kepentingan dalam pembangunan kreativiti yang mampu memberi impak kepada pasaran juga menjadi faktor yang mendorong perkembangan platform pengeditan video untuk dimanfaatkan oleh sektor perniagaan secara lebih menyeluruh.

Atas faktor tersebut, terdapat beberapa aplikasi pengeditan video yang menjadi pilihan ramai pengguna maya, malah turut dijadikan sebagai landasan kepada para usahawan dan organisasi perniagaan dalam mencipta kandungan video secara mudah bagi menjana impak pemasaran yang efektif.

InShot – Sekiranya anda memerlukan aplikasi pengeditan video yang mudah diakses dan digunakan melalui telefon pintar, InShot adalah antara pilihan terbaik. Ia boleh dimuat turun serta mudah dikendali melalui sistem Android dan iOS terma­suk komputer. Aplikasi InShot turut menjadi pilihan ramai pe­ngusaha kecil dan sederhana sehinggalah kepada peniaga mikro dan ejen jualan dalam talian.

Kelebihan aplikasi ini bukan sahaja memudahkan pengeditan video melalui peranti dan telefon pintar, tetapi turut menyedia­kan kemudahan penyuntingan foto, filter, teks dan muzik de­ngan pelbagai pilihan percuma atau berbayar. Ia juga berupaya menyatukan imej dan foto untuk dijadikan bahan pengisian video kreatif untuk pelbagai tujuan pemasaran dan jualan.

VN Video Editor – Dengan ke­lebihan yang hampir sama dengan InShot, VN Video Editor turut menawarkan kemudahan pengeditan yang boleh dikendalikan melalui peranti digital dan te­lefon pintar. Ia juga menjadi pilihan alternatif dalam pengeditan video yang boleh dikendalikan secara mudah oleh pengguna.

Berdasarkan pandangan pemain industri digital, aplikasi VN Video Editor kini antara platform yang banyak membantu para pencipta kandungan sehinggalah YouTuber untuk mendalami teknik-teknik pengeditan video berdurasi pendek dan panjang untuk penghasilan kualiti video yang tampak lebih profesional.

KineMaster – Sekiranya anda baru memulakan penglibatan dalam pengeditan video, KineMaster merupakan pilihan yang memudahkan untuk pelbagai tujuan. Ia telah terbukti dalam membantu menyokong pelbagai aktiviti pemasaran dan promosi bagi kebanyakkan usahawan dan peniaga mikro.

Aplikasi ini menyediakan pilihan Project Assistant dan Empty Project dalam kemudahan pengeditan video secara sistematik walaupun bagi pemula. Aplikasi ini juga boleh dimuat turun di Android dan iOS serta turut mempunyai ciri-ciri yang memenuhi keperluan asas pengeditan seperti efek khusus, audio dan kawalan kecepatan video yang mudah dikendali.

Adobe Premier Pro – Bagi usahawan dan organisasi perniagaan yang berhasrat menghasilkan video pemasaran dan promosi dengan mutu tampilan nilai-nilai komersil dan kreatif, aplikasi Adobe Premier menjadi antara pilihan sebagai video editing software terkemuka dalam industri periklanan dan perfileman.

Perisian ini menawarkan ciri-ciri seperti Automatically Reformat Video, Lumetri Color Tools, Accelerate Audio Mixing dan End-to-end VR yang memenuhi standard industri. Adobe Premier Pro adalah perisian berbayar, tetapi ia turut menawarkan tempoh percubaan secara percuma selama 7 hari kepada yang berhasrat untuk mengenalpasti kewibawaan perisian tersebut.

Justeru itu, memanfaatkan kemudahan aplikasi video merupakan salah satu strategi mendepani persaingan pasaran digital. Ia memudahkan penciptaan pemasaran kandungan yang lebih kreatif agar mampu menyentuh emosi dan motivasi pelanggan untuk impak pemasaran yang lebih mampan.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN