Zurich perkenal pelan bantuan perniagaan - Utusan Malaysia

Zurich perkenal pelan bantuan perniagaan

JUNIOR CHO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Zurich Malaysia memperkenalkan Program Bantuan Covid-19 Perniagaan bagi membantu perniagaan tempatan meneruskan operasi dan menuju masa depan lebih cerah.

Disediakan oleh Zurich General Insurance danZurich General Takaful, program itu memperuntukan RM2 juta untuk perlindungan perbelanjaan berkaitan Covid-19 untuk semua pelanggan yang layak.

Menurut Ketua Negara Zurich Malaysia, Junior Cho, pandemik telah mendatangkan cabaran ekonomi yang hebat bagi perniagaan dan syarikat memahami kesulitan dihadapi oleh pelanggan.

Beliau berkata, program itu dilancarkan hasil maklum balas daripada pelanggan dan bertujuan membantu mereka untuk memulakan semula perniagaan dengan waktu henti (downtime) yang minimum.

“Kami berharap komitmen ini mencerminkan matlamat kami untuk mengekalkan masa depan yang penuh inspirasi dan optimis dengan dan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Ia juga menyokong cita-cita Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuhkan keselamatan dan kesejahteraan secara inklusif.

“Kami bertuah kerana berpeluang untuk membantu Malaysia mencapai tahap pembangunan seterusnya untuk manfaat masyarakat yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Zurich, melalui Program Bantuan Covid-19 Perniagaan, pelanggan yang pekerjanya disahkan positif Covid-19 boleh menuntut perbelanjaan pembasmian kuman di premis dan saringan Covid-19 untuk pekerja (termasuk pekerja yang dijangkiti dan tidak dijangkiti yang telah membuat saringan Covid-19).

Jelasnya, sekiranya pekerja pelanggan disahkan meninggal dunia akibat Covid-19, pelanggan boleh menuntut pembayaran sekali gus RM500 bagi setiap pekerja.

“Jumlah pembayaran tuntutan bagi setiap pelanggan untuk kedua-dua perbelanjaan disenaraikan di atas dan kematian pekerja adalah pada nilai gabungan maksimum RM5,000,” katanya.

Tambahnya, program itu tambahan kepada bantuan dan insentif nasional sedia ada untuk menyokong kesinambungan perniagaan.

Ia termasuk Geran Khas Prihatin untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Program Subsidi Upah untuk menyokong pekerjaan, pengecualian levi Dana Pembangunan Sumber Manusia, skema kredit mikro dan moratorium pinjaman bank untuk menyokong aliran tunai perniagaan.

“Program Bantuan Covid-19 Perniagaan Zurich berkuat kuasa dengan segera sehingga 31 Disember 2021, atau sehingga peruntukan dana RM2 juta dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN