UEM Edgenta sokong usaha pemulihan Covid-19 - Utusan Malaysia

UEM Edgenta sokong usaha pemulihan Covid-19

Melalui operasi PPV itu, syarikat menyasarkan untuk memberikan sehingga 1,500 dos vaksin Pfizer-BioNTexh Covid-19 sehari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) telah mengubah suai Pusat Penilaian Covid-19 Swasta (CAC) di UEM Edgenta Learning Centre (UELC) terletak di sini, sebagai pusat vaksinasi untuk golongan remaja antara 12 hingga 15 tahun.

PPV itu ditubuhkan hasil usaha sama dengan ProtectHealth, Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta disokong oleh U.N.I Klinik.

Ia akan beroperasi selama enam minggu bermula 11 Oktober lalu dari 9 pagi sehingga 4 petang setiap hari, kecuali Sabtu dan Ahad.

Pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat terus menyokong kerajaan bagi membantu memastikan liputan vaksinasi dicapai seluas mungkin dengan mengalu-alukan golongan remaja untuk mendapat suntikan vaksinasi mereka.

“Ia juga penting bagi membolehkan sesi persekolahan dapat dibuka semula dengan lebih ramai pelajar divaksin.

“Memandangkan lebih banyak pejabat akan dibuka semula dan aktiviti rentas negeri dipergiatkan, lokasi strategik dan ideal ialah UELC yang berdekatan dengan kawasan perumahan sekali gus dapat memanfaatkan mereka yang menetap di kawasan Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, dengan operasi PPV itu, syarikat menyasarkan untuk memberikan sehingga 1,500 dos vaksin Pfizer-BioNTexh Covid-19 sehari.

Beliau berharap, dengan usaha itu masyarakat akan dapat meneruskan kehidupan seharian, manakala negara dapat meneruskan usaha pemulihan ekonomi dan sosial.

Sebelum ini, UEM Egenta telah mengubah suai fasiliti latihan dan pembangunan warga kerjanya iaitu UELC, menjadi CAC Swasta yang menggunakan QuickMed sebagai nadi penggeraknya, dan dilengkapi dengan makmal bergerak Polymerase Chain Reaction (PCR), pusat saringan dan peralatan canggih untuk mengurangkan kesesakan di CAC lain.

CAC Swasta terbabit telah menyaring hampir 4,000 pesakit Covid-19 sepanjang tiga bulan ia beroperasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN