TNB, LADA jalin kerjasama pemasangan panel solar - Utusan Malaysia

TNB, LADA jalin kerjasama pemasangan panel solar

TAKIYUDDIN Hassan (empat, kanan) bergambar selepas menyaksikan penyerahan replika surat niat oleh LADA kepada TNB di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, GSPARX Sdn. Bhd. akan menjalin kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi mengurangkan pelepasan karbon melalui pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di Kompleks Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi.

Menurut TNB, LADA menyatakan hasrat tersebut melalui penyerahan surat niat dalam majlis yang diadakan di kompleks itu kelmarin.

Katanya, ia turut melibatkan kerjasama strategik bersama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB bersedia menyumbangkan kepakaran dalam bidang tenaga solar menerusi GSPARX bagi membantu LADA mencapai objektif mengurangkan pelepasan karbon dan menjana tenaga hijau.

“Bagi mencapai aspirasi kami untuk menjadi pembekal terunggul penyelesaian tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa, TNB telah dan akan terus membangunkan keupayaan yang terbukti dalam bidang panel solar PV.

“Langkah LADA dan Langkawi Port Sdn. Bhd. (LPSB) menjana tenaga hijau bukan sahaja menyokong usaha kerajaan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) malah turut mampu menjimatkan bil elektrik mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Penyerahan surat niat itu dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif LADA merangkap Pengerusi LPSB, Nasaruddin Abdul Mutalib kepada Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri dan disaksikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

LPSB merupakan anak syarikat LADA yang mengoperasikan Kompleks Dermaga Tanjung Lembung.

Menurut TNB, GSPARX dijangka memasang sistem solar PV berkapasiti 363kWp di Kompleks tersebut.

“Bergantung kepada perjanjian, potensi penjimatan bil elektrik LPSB selepas pemasangan adalah antara RM87,000 hingga RM244,000 bagi tahun pertama dan sehingga RM5 juta hingga RM7.4 juta bagi tempoh 25 tahun,” katanya.

Megat Jalaluddin menjelaskan, TNB sebagai syarikat utiliti elektrik negara turut menyokong usaha kerajaan dengan meletakkan aspirasi untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 yang dipacu melalui komitmen mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

“Hala tuju kelestarian TNB mendukung pelan kerajaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (RE) dalam gabungan kapasiti penjanaan negara ke arah mencapai sasaran kapasiti terpasang RE sebanyak 31 peratus pada 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN