PETALING JAYA: Masalah kekurangan bakat tempatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) perlu ditangani segera sekiranya Malaysia serius untuk memajukan rantaian nilai industri berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, industri E&E memainkan peranan penting dalam pembangunan industri negara, malah Malaysia adalah hab pembuatan global utama bagi industri tersebut.
Jelasnya, Malaysia menghasilkan sekitar 13 peratus daripada output semikonduktor back-end global selain menyumbang 40 peratus eksport Malaysia.
“Dalam lapan bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan produk E&E negara berjumlah RM477 bilion dengan eksport meningkat 18.8 peratus kepada RM282 bilion, iaitu mewakili kira-kira 35 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
“Sejak 50 tahun lalu, kami berjaya mencipta ekosistem E&E yang komprehensif, terutamanya untuk aktiviti pembuatan semikonduktor front-end hingga back-end. Sebilangan besar syarikat multinasional (MNC) telah menubuhkan operasi mereka di sini.
“Justeru, semakin banyak syarikat tempatan menjadi sebahagian daripada industri, menyediakan produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh MNC antaranya dalam automotif, pengguna, pengurusan kuasa serta segmen alat perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di webinar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bertajuk ‘Meningkatkan Industri E&E dalam Meningkatkan Rantai Nilai,’ semalam.
Dalam RMK-12, industri E&E diunjurkan menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan RM495 bilion jumlah eksport negara menjelang 2025.
Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) dan industri untuk mencapai sasaran berkenaan.
Justeru, beliau menegaskan, kerajaan komited dalam mewujudkan persekitaran kondusif yang lebih meluas untuk pertumbuhan berterusan sektor E&E.
“Kami mahu lebih banyak syarikat Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global ini seperti SkyeChip yang telah merancang produk IP Silicon canggih dan litar bersepadu (IC) untuk pasaran global.
“SkyeChip telah menjadi syarikat IC Malaysia pertama yang diterima secara meluas untuk pengeluaran 7nm. Produknya setaraf beberapa produk syarikat semikonduktor terkemuka dunia termasuk Broadcom, AMD, dan Xilinx.
“Saya gembira EPU telah mengambil inisiatif untuk mempermudahkan program ini dan mengumpulkan semua pemegang saham untuk bertemu dan berbincang,” ujarnya. – UTUSAN










