PETALING JAYA: Syarikat pegangan AirAsia Group (AAG) kini dinamakan semula sebagai AirAsia Aviation Limited, sejajar dengan transformasi pantas AirAsia daripada syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan dan gaya hidup digital.
Bo Lingam, dahulunya Presiden (Penerbangan) AirAsia Group kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited yang menyelia empat syarikat penerbangan AirAsia Group iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Thailand dan AirAsia Indonesia.
Menurut Bo Lingam, perubahan struktur tersebut membantu memacu pertumbuhan kumpulan yang semakin kukuh dalam kedua-dua perniagaan syarikat penerbangan dan digital.
Jelasnya, entiti AirAsia Aviation Limited memegang pelaburan syarikat penerbangan kumpulan dan membuka lebih banyak peluang untuk menubuhkan syarikat penerbangan baharu apabila tiba masanya.
“Kami juga baru sahaja mewujudkan bahagian Perundingan AirAsia yang bertujuan untuk mengkaji kerjasama syarikat penerbangan dan peluang francais.
“Dengan mewujudkan syarikat pegangan bagi syarikat penerbangan ini, kami dapat memberikan fokus untuk terus menjadi syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia.
“Kami telah meluangkan masa selama 18 bulan yang lalu untuk meninjau setiap aspek operasi bagi memastikan syarikat penerbangan kami akan kembali beroperasi dengan lebih teguh,” katanya dalam kenyataan, semalam.
AirAsia Group Berhad (AAGB) adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan untuk lapan syarikat dengan portfolio digital yang memanfaatkan data dan teknologi untuk memberikan nilai terbaik dengan kos terendah kepada pengguna.
Portfolio komprehensif AAGB merangkumi AirAsia Aviation, airasia Super App, cabang kargo dan logistik Teleport, perkhidmatan kewangan BigPay, cabang teknologi pendidikan airasia academy, syarikat kejuruteraan Asia Digital Engineering, perkhidmatan darat GTR dan rangkaian restoran dan kumpulan makanan iaitu Santan.
Menurut beliau, pihaknya juga dapat melihat pembukaan semula sempadan dunia dan meramalkan pemulihan berbentuk V bagi sektor perjalanan udara dalam masa terdekat.
“Di Malaysia, kami telah melihat permintaan tinggi untuk perjalanan udara sejak kerajaan membenarkan rentas negeri dan buat masa ini kami mengendalikan lebih 60 penerbangan setiap hari ke 16 destinasi percutian utama di Malaysia dan lebih banyak kekerapan dan laluan akan terus ditambah untuk memenuhi permintaan para tetamu yang semakin meningkat.
“Kami juga telah melihat kemajuan yang memberangsangkan bagi syarikat penerbangan kami di Thailand, Indonesia dan Filipina berikutan permulaan perkhidmatan yang seiring dengan peningkatan vaksinasi dan kelonggaran sekatan perjalanan di pasaran utama kami ini,” ujarnya. – UTUSAN










