
PETALING JAYA: Suzuki Jimny, antara kenderaan utiliti sukan (SUV) yang paling dinantikan, secara rasminya kembali ke Malaysia.
Dengan elemen reka bentuk yang diwarisi dari generasi masa lalu, Jimny generasi ke-4 yang baharu mudah dikenali dan lebih istimewa. Ia merupakan karya teknologi kenderaan pacuan empat roda (4WD) Suzuki.
Jimny serba baharu mempunyai lebih banyak fungsi dan lebih praktikal pada penampilan dan prestasinya iaitu kenderaan 4WD kecil, ringan dan berkemampuan tinggi.
Jimny menggabungkan kesederhanaan, `keindahan’ fungsi dan teknologi 4WD yang diinginkan oleh pengguna di bandar dan golongan profesional.
“Kami sangat gembira untuk melancarkan buat pertama kalinya ikon generasi keempat Suzuki Jimny di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Corporation Holding Sdn. Bhd., Datuk Nik Hamdan Nik Hassan dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Jimny telah menjadi ikon bagi pencinta 4WD dan SUV di seluruh dunia.
Katanya, setakat ini, terdapat minat yang kuat daripada peminat kenderaan terbabit menjelang pelancarannya, baru-baru ini.
“Kami percaya bahawa varian teratas Suzuki Jimny ini akan menawan hati rakyat Malaysia
dengan reka bentuk klasik dan prestasi luar jalan yang unggul,” katanya.
SUV yang diimport sepenuhnya dari Jepun itu hadir dalam empat warna iaitu Kinetic Yellow &
Bluish Black Pearl 3, Jungle Green, Medium Grey, dan Bluish Black Pearl 3.
Ia dilengkapi dengan enjin petrol 1.5 liter (1.5L) dan dipasang dengan transmisi automatik 4-kelajuan.
Jimny berharga RM168,900 di atas jalan raya, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST). – UTUSAN










