PETALING JAYA: Sunway Hospitality telah melancarkan Sunway Hotel Big Box, hotel Sunway pertama di selatan Malaysia yang terletak di Sunway City Iskandar Puteri, Johor.
Hotel dengan 284 bilik yang dibina di bandar bersepadu seluas 1,800 ekar dengan elemen kediaman, perhotelan, peruncitan, pendidikan dan perubatan ini menawarkan tetamu akses ke taman permainan semula jadi yang dikelilingi hutan bakau hasil usaha pemeliharaan dan pemuliharaan oleh Sunway.
Dibuka pada 1 Oktober, Sunway Hotel Big Box dapat diakses dengan mudah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, dan Coastal Highway Southern Link (CHSL) dari Singapura yang terletak hanya lima kilometer dari hotel.
Sesiapa sahaja sama ada pasangan, keluarga dan kumpulan korporat boleh meneroka ‘syurga’ eko ini, yang merangkumi kawasan hijau 1,800 ekar, laluan berbasikal, laluan mendaki dan aktiviti lain.
Selain itu, tetamu juga boleh membeli belah di Sunway Big Box Retail Park yang merupakan pusat terbuka unik seluas 46,000 meter persegi dan menawarkan pelbagai kedai, outlet makanan ringan dan hiburan, termasuk 13 kedai konsep gudang.
Sunway Hospitality dalam kenyataan memaklumkan, tetamu boleh memilih daripada lima kategori penginapan iaitu Bilik Deluxe, Bilik Deluxe Plus, Suite Keluarga, Suite Eksekutif dan Suite Premier.
Ujarnya, kesemua bilik direka dengan hiasan dalaman kontemporari, Wi-Fi percuma, televisyen pintar, peti sejuk mini, kemudahan membuat kopi dan teh serta katil sofa dalam kategori terpilih.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen Sunway untuk Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) termasuk pelbagai pertimbangan persekitaran, setiap bilik hotel juga akan disediakan botol keluli tahan karat yang boleh digunakan semula, dispenser air di setiap tingkat serta syampu organik dan gel mandian dalam bekas yang boleh dikitar semula di setiap bilik mandi.
“Langkah ini dapat mengurangkan penggunaan plastik yang tidak boleh dikitar semula. Di lobi pula, kami sediakan kiosk daftar masuk sendiri yang akan mempercepat proses ketibaan, sekali gus mengurangkan penggunaan kertas hotel,” kata kenyataan itu.
Dalam fasa pembukaan akhir tahun ini, tetamu boleh menempah Bilik Deluxe King atau Twin seluas 32 meter persegi untuk dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, atau Family Suites seluas 57 meter persegi yang mempunyai ruang tamu terpisah, dua bilik mandi, bilik tidur dengan katil Super King atau Twin, katil sofa, mesin kopi kapsul dan ketuhar gelombang mikro.
Sekiranya tetamu hanya ingin berehat di kawasan hotel, mereka boleh bersantai di kolam renang, bersenam di pusat kecergasan 24 jam atau bersantai sambil menghirup minuman sejuk dan menonton acara sukan secara langsung di Pool Bar.
Pendas Café menyajikan masakan tempatan dan antarabangsa untuk sarapan, makan siang dan makan malam, dengan menu makanan 24 jam di dalam bilik.
Tetamu juga boleh menikmati makanan pilihan yang lain di Sunway Big Box Retail Park dengan hanya menggunakan jambatan sambungan ke sana.
Bagi kemudahan kumpulan korporat dan perancang acara, Sunway Hotel Big Box mempunyai tiga bilik mesyuarat fleksibel yang boleh memuatkan antara 20 hingga 300 orang, dengan dinding video LED tiga meter dan Smart Panel skrin sentuh interaktif 86 inci. – UTUSAN










