PETALING JAYA: SME Bank menawarkan bantuan bersasar, SME Relief Program PEMULIH (SRP PEMULIH) kepada 4,142 pelanggan untuk pembiayaan bernilai RM5.8 bilion bermula Julai lalu sehingga Disember ini.
Fasa dua ditumpukan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor pelancongan dan pengangkutan awam yang mendapat lanjutan moratorium selama 12 bulan iaitu dari Oktober 2021 sehingga September 2022 dan lanjutan tempoh pembiayaan asal sehingga 36 bulan.
Agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) itu menawarkan bantuan dalam bentuk penangguhan ke atas bayaran prinsipal dan kadar keuntungan pembiayaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata,SME Bank telah mula menawarkan SRP 1.0 setelah tempoh moratorium automatik enam bulan tamat tahun lalu dengan seramai 3,084 pelanggan telah menerima tawaran bantuan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.1 bilion.
Ujarnya, tawaran SRP 2.0 adalah sebagai langkah sokongan berterusan untuk pelanggannya.
“Bantuan bersasar ini telah memanfaatkan seramai 311 pelanggan dengan nilai pembiayaan RM248 juta daripada sektor peruncitan, perkhidmatan, makanan dan minuman serta pengangkutan awam.
“Bantuan SRP ini membolehkan usahawan PKS memberi fokus terhadap membangunkan semula perniagaan tanpa bebanan aliran tunai.
“Selain itu, SME Bank telah meluluskan pembiayaan untuk Special Relief Fund (SRF) sebanyak RM506.3 juta, Penjana Tourism Fund (PTF) sebanyak RM7.7 juta dan Targeted Relief and Recovery Facility (TRRF) sebanyak RM255.7 juta yang telah membantu 1,798 usahawan PKS,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sementara itu, berdasarkan mandat untuk membimbing dan membangunkan usahawan PKS negara, SME Bank turut memainkan peranan ‘Beyond Financing’ antaranya pengecualian bayaran sewa 100 peratus selama tujuh bulan lagi bermula dari Jun hingga Disember 2021 kepada 251 orang penyewa di 373 lot kilang di Kompleks Premis Usahawan milik SME Bank.
Langkah ini telah memberikan penjimatan kos berjumlah RM6.6 juta kepada para penyewa. Untuk rekod, dari bulan April 2020 hingga Mac 2021, penangguhan dan potongan yang diberikan kepada penyewa adalah bernilai RM6.1 juta.
Majlis Penyerahan Surat Penerimaan SRP PEMULIH fasa 2 kepada 10 pelanggan SME Bank daripada sektor pelancongan dan pengangkutan awam telah disampaikan oleh Noh, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, semalam. – UTUSAN










