Skim latihan: TNB peruntuk RM186 juta bantu kerajaan kurangkan pengangguran - Utusan Malaysia

Skim latihan: TNB peruntuk RM186 juta bantu kerajaan kurangkan pengangguran

TAKIYUDDIN Hassan merasmikan TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé sambil disaksikan oleh Hasan Arifin (kanan) dan Baharin Din di ILSAS, Bangi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkukuhkan peranannya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerusi peruntukan sebanyak RM43 juta bagi program TNB Reskilling Malaysia yang diperkenalkan akhir tahun lalu.

Program itu diperkenalkan bagi membantu usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja teknikal.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, peruntukan itu menjadikan sejumlah RM186 juta diperuntukan oleh TNB dalam inisiatif mengurangkan kadar pengangguran negara berikutan peruntukan RM143 juta oleh TNB sejak 2011 khusus untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Beliau berkata, menerusi institusi latihan teknikalnya, ILSAS menyasarkan untuk melatih semula 17,500 tenagha kerja yang terkesan akibat Covid-19 sehingga 2024.

“Sejak program ini mula dilaksanakan pada Oktober 2020, ILSAS telah berjaya melatih dan membuat padanan pekerjaan seramai 2,376 orang di 268 buah syarikat dalam industri.

“Inisiatif ini dijangka mampu menyumbang peningkatan sehingga 6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui kesan berganda dalam ekonomi yang nilainya boleh mencapai sehingga RM82 bilion dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang,” katanya pada majlis perasmian TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé, di ILSAS di sini, hari ini.

Program dilancarkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din.

TNB Reskilling Malaysia dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia yang memberikan komitmen untuk menampung baki kos program sebanyak RM38 juta lagi.

Menurut Hasan, TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé dilaksanakan dalam usaha syarikat utiliti nasional itu membantu kerajaan menggerakkan pemulihan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.

Katanya TNB juga telah melatih 5,477 pelatih Protégé, iaitu Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs sejak 2011 dengan peruntukan sebanyak RM143 juta.

Ia telah meningkatkan kebolehpasaran para graduan muda ini, dan ini terbukti dengan seramai 2,633 pelatih telah mendapat pekerjaan dalam masa 6 bulan setelah tamat latihan.

“Bagi skim latihan Protégé terbaharu, seramai 1,000 pelatih akan menjalani latihan mereka selama 12 bulan di TNB,” kata Hasan.

Sementara itu, Takiyuddun dalam ucapannya berkata, kementerian sangat mengalu-alukan komitmen TNB melaksanakan kedua-dua program berkenaan dengan peruntukan yang agak besar untuk menyuntik dan memangkin pemulihan ekonomi negara.

“Sumbangan para pelatih reskilling dan protégé kepada kegiatan ekonomi kelak, sudah tentu memberi kesan postif kepada keluaran dalam negara kasar.

“Inisiatif ini sejajar dengan usaha kerajaan mahu mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi membantu golongan yang hilang pekerjaan akibat pandemik, yang mencari pekerjaan baharu dan mereka yang baru menamatkan pengajian, iaitu yang baharu memasuki pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan inisiatif TNB itu bergantung kepada kemampuannya menggerakkan kegiatan ekonomi dalam industri tenaga, kekal sebagai antara syarikat milik kerajaan (GLC) yang stabil kewangan, selain terus perlu berdaya maju sebagai aset strategik dalam usaha Malaysia membentuk semula ekonominya.

“Justeru, adalah sangat penting bagi utiliti seperti TNB untuk mendapat kadar pulangan yang wajar dan berpatutan bagi membolehkannya terus membiayai pelaburan yang menyokong agenda peralihan tenaga negara, merangsang kembali ekonomi, mencipta peluang pekerjaan sambil memberikan pulangan yang sewajarnya kepada para pemegang sahamnya,” kata Takiyuddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN