Saham Asia alami kerugian - Utusan Malaysia

Saham Asia alami kerugian

SEORANG lelaki melintasi paparan bursa saham di Jepun yang menunjukkan prestasi negatif kebanyakan pasaran saham di rantau Asia. – AGENSI/GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Saham Asia me­ngalami kerugian besar semalam berikutan penjualan yang meluas di Wall Street, ketika pasaran sedang resah susulan kesan kenaikan harga minyak selama bertahun-tahun ketika gangguan rantaian bekalan te­lah memberi tekanan kepada kegiatan ekonomi.

Indeks MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun turun sebanyak 1.3 peratus, jatuh untuk tiga sesi berturut-turut. Saham Jepun juga menurun 2.8 peratus, diikuti Korea Selatan sebanyak 2.5 peratus dan Australia satu peratus.

Pengarah Eksekutif Strategi Pelaburan di OCBC Bank, Vanu Menon berkata, pelabur bimbang terhadap inflasi akibat gangguan bekalan dan kenaikan harga tenaga.

“Penurunan dalam pasaran telah membawa penanda aras utama MSCI ke 619.87, terendah sejak November 2020.

“Ia telah merosot lebih 5 pe­ratus tahun ini, dengan pasaran Hong Kong dan Jepun antara yang paling rugi.

“Kami telah melihat saham teknologi mengatasi stok nilai, jadi jika inflasi tetap menjadi kembimbangan, stok teknologi cenderung untuk mengalami tekanan,” katanya.

Lapor Reuters, harga minyak telah mencapai paras tertinggi dalam tiga tahun semalam, setelah Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mengesahkan mereka akan berpegang pada dasar output semasa, memandangkan permintaan produk petroleum meningkat, walaupun terdapat tekanan daripada beberapa negara untuk meningkatkan pengeluaran.

Minyak WTI stabil pada AS$77.92 (RM325.55) setong, sehari selepas mencecah paras tertinggi sejak 2014. Manakala, minyak mentah Brent berada pada AS$81.66 (RM341.22) setelah mencecah paras tertinggi dalam tiga tahun.

“Pasaran di Asia tertumpu kepada sama ada syarikat pemaju hartanah China, Evergrande, akan menawarkan kelonggaran kepada pelabur yang sedang mencari tanda-tanda pelupusan aset. Saham syarikat itu telah dihentikan untuk diperdagangkan pada Isnin lalu.

“Purata perindustrian Dow Jones menjunam 0.94 peratus kepada 34,002.92, S&P 500 turut menurun 1.30 peratus kepada 4,300.46 dan Nasdaq Composite juga turun 2.14 peratus kepada 14,255 sementara pelabur membuang saham Big Tech kerana menghadapi peningkatan kadar hasil Perbendaharaan AS,” jelas Reuters.

Ujarnya, peningkatan kadar hasil Perbendaharaan AS telah menyebabkan para pelabur le­bih berhati-hati untuk meningkatkan had hutang kerajaan AS memandangkan kerajaan terbabit sedang menghadapi risiko kegagalan dalam masa dua ming­gu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN