PETALING JAYA: Proton Saga muncul model paling laris bagi sedan segmen A di Malaysia pada bulan lalu dengan jualan sebanyak 3,907 unit.
Kejayaan itu membantu Proton merekodkan jualan sebanyak 10.380 unit pada bulan berkenaan, sekali gus mengekalkan kedudukan di tangga kedua, dengan pegangan pasaran dianggarkan sekitar 23.9 peratus berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sekitar 43,500 unit.
“Secara keseluruhan, pegangan pasaran bagi 2021 berada pada 23 peratus, jika dibandingkan dengan angka penutup sebanyak 20.7 peratus tahun lalu,” kata Proton dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Menurutnya, jualan SUV Proton kekal kukuh dengan peningkatan penyerahan X50 dan X70 masing-masing sebanyak 2,431 dan 1,577, sekali gus mengungguli segmen mereka.
Jelasnya, secara keseluruhan sebanyak 27,312 unit SUV telah dijual setakat ini, bersamaan 37.4 peratus jualan keseluruhan tahunan syarikat sebanyak 73,017 unit.
Tambahnya, jualan Persona dan Iriz 2022 baharu turut mencatatkan jualan memberangsangkan.
“Walaupun bahagian produksi terkesan oleh kekurangan bekalan komponen, Proton masih mampu untuk menyerahkan 1,440 unit Persona dan 749 unit Iriz yang turut menampulkan varian Iriz Active,” jelasnya.
Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, situasi kini bertambah baik, tetapi kekurangan bekalan cip dan komponen lain merupakan isu yang tidak akan selesai dalam masa yang singkat.
Justeru katanya, Proton harus berhati-hati apabila membuat anggaran jualan kerana kapasiti produksi tertakluk kepada perubahan semasa.
“Oleh itu, bagi tiga bulan akhir tahun ini, Proton akan menumpukan perhatian untuk menyerahkan sebanyak mungkin kenderaan kepada pelanggan yang telah membuat tempahan.
“Menyelesaikan masalah permintaan yang tertangguh akan membolehkan lebih banyak jualan pada tahun hadapan dan membantu kita untuk maju kehadapan dengan perancangan meluaskan lagi rangkaian produk yang boleh diberikan kepada pasaran tempatan dan eksport,” katanya. – UTUSAN










