PETALING JAYA: Langkah-langkah yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bakal merancakkan lebih banyak aktiviti pemilikan hartanah dalam julat harga yang paling sesuai untuk pembeli daripada golongan B40 dan M40.
Menurut Pengasas dan Ketua Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, julat harga yang lebih rendah merangkumi hampir dua pertiga transaksi. Sebanyak 62 peratus urus niaga pada 2020 adalah untuk hartanah di bawah RM300,000 berbanding hanya 17 peratus untuk hartanah di atas RM500,000.
“RMK12 menjanjikan perubahan besar dalam industri hartanah tempatan. Dengan pelbagai inisiatif baharu ini, kami jangkakan bahagian urus niaga di bawah RM300,000 meningkat menjelang 2025.
“Untuk memungkinkan lebih banyak B40 dan M40 memiliki rumah sendiri, akan ada lebih banyak perkembangan dalam kisaran harga yang sesuai serta insentif pembiayaan dan polisi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, RMK12 mewakili aspirasi rakyat Malaysia untuk masa depan yang lebih baik selain percaya rancangan peningkatan gaya hidup dan kewangan, meningkatkan pemilikan hartanah dan mempercepat inovasi bakal menjadi pelengkapnya.
“Malaysia sudah memiliki kadar pemilikan rumah yang tinggi iaitu 70 peratus. Peratusan keseluruhan isi rumah bumiputera yang memiliki unit kediaman adalah 74 peratus. Itu jauh lebih tinggi daripada di Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.
“Pemilikan hartanah memberikan jaminan kewangan dan merupakan aset kewangan yang berguna semasa memerlukan. Selepas anda membayar gadai janji, perbelanjaan perumahan bulanan menurun sekali gus menjadikan persaraan lebih terjamin dengan adanya tempat berteduh,” ujarnya.
Menurut Kashif, beberapa program utama yang akan dimanfaatkan termasuk Sewa untuk Miliki (RTO), Dana Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Skim Pinjaman Perumahan.
Insentif tersebut katanya, meliputi peningkatan akses kepada pembiayaan, mendorong pembinaan perumahan mampu milik dan pengurusan perumahan mampu milik yang lebih baik dan dikhaskan secara eksklusif untuk penduduk yang berkelayakan.
“Untuk membantu pembeli yang tidak mampu membayar pendahuluan rumah baharu, julat harga yang layak untuk program RTO akan dinaikkan kepada RM500,000. Skim RTO adalah cara yang berpatutan untuk memperoleh rumah sendiri, hanya dengan menyewanya selama lima tahun.
“Justeru, pasaran sewa akan mengalami perubahan. Kerajaan merancang untuk memperkenalkan undang-undang baharu untuk mengatur hak pemilik dan penyewa. Ini akan memberikan lebih banyak keselamatan dan kestabilan kepada penyewa,” jelasnya. – UTUSAN










