PUNB tawar moratorium penuh bantu usahawan - Utusan Malaysia

PUNB tawar moratorium penuh bantu usahawan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan pemberian moratorium penuh ke atas prinsipal dan keuntungan kepada rakan usahawan yang layak serta diskaun sewa premis perniagaan PUNB sebanyak 70 peratus.

Moratorium penuh itu bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

Penambahbaikan tersebut dibuat ke atas pelaksanaan moratorium sebelum ini yang hanya melibatkan pembayaran prinsipal dan tawaran diskaun 50 peratus bagi sewa premis perniagaan.

IZWAN ZAINUDDIN

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, langkah proaktif itu diambil untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan membantu usahawan yang dalam proses pemulihan perniagaan ketika negara sedang bersedia untuk memasuki fasa endemik.

Katanya, selain itu, pemberian moratorium dan penambahan diskaun sewa tersebut adalah untuk memberikan kelegaan aliran tunai segera kepada usahawan yang mungkin menghadapi kekangan kewangan sementara akibat pandemik Covid-19.

“Semua Rakan Usahawan PUNB yang telah mendapat moratorium bagi tempoh Januari hingga Jun 2021, usahawan baharu, penerima pembiayaan tambahan dan syarikat yang menerima pembiayaan di bawah Skim Bumiputera Relief Financing (BRF) dan Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan Covid-19 (SPUR) secara automatik layak menerima inisiatif ini.

“Pemberian moratorium ini bakal memberi manfaat kepada hampir 3,300 syarikat Rakan Usahawan PUNB berjumlah RM118.51 juta,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambah Izwan, pemberian diskaun tambahan ke atas sewa premis perniagaan melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM6.78 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2021, melibatkan seramai 246 penyewa.

Sebarang pertanyaan mengenai moratorium, Rakan Usahawan boleh menghubungi Pegawai Pemantauan yang telah ditugaskan menyelia akaun anda melalui telefon atau e-mel masing-masing.

Untuk pertanyaan am, hubungi Pegawai Khidmat Pelanggan di talian 1300 13 7862 atau talian am 03-2785 1515 atau e-mel ke [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×