Petronas sedia khidmat nasihat - Utusan Malaysia

Petronas sedia khidmat nasihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Turut tawarkan sokongan teknikal untuk Projek Metanol Sarawak

PETALING JAYA: Petronas Global Technical Solutions Sdn. Bhd. (PGTSSB) telah memeterai perjanjian dengan Sarawak Petchem Sdn. Bhd. untuk memberikan khidmat nasihat dan sokongan teknikal untuk loji metanol mega pertama di Sarawak.

Perjanjian itu merangkumi khidmat nasihat mengenai perkhidmatan teknikal, perolehan dan pemulihan, serta sokongan operasi dan penyelenggaraan yang kritikal untuk Projek Metanol Sarawak yang merangkumi keseluruhan peringkat pelaksanaan dan operasi projeknya.

Pengerusi PGTSSB, Noor Ilias Mohd. Idris berkata, kerjasama itu menunjukkan komitmen Petronas untuk menyokong Sarawak Petchem dalam melaksanakan projek mega, sesuai dengan aspirasi ‘One Team One Goal One Spirit, Building Legacy’.

Ujarnya, perjanjian ini juga menandakan satu lagi pencapaian kerjasama di antara Petronas dan kerajaan negeri Sarawak dalam usaha mempergiat pertumbuhan Sarawak, khususnya di sektor hiliran petrokimia.

“Kami berbangga menjadi rakan tenaga dan penyelesaian pilihan Sarawak Petchem dalam menyokong kejayaan projek bersejarah ini dalam usaha penerokaan minyak dan gas Sarawak ke sektor petrokimia.

“Kami komited mempermudahkan visi Sarawak untuk loji metanol mega pertama mereka dengan kepakaran teknikal dan penyampaian projek terbaik kami.

“Pakar tempatan PGTSSB mempunyai pelbagai disiplin teknikal dan kaya dengan pengalaman dalam projek sama di Malaysia, dan mereka dapat menyumbang untuk memastikan saluran bakat teknikal yang berterusan di Sarawak Petchem melalui pemindahan pengetahuan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada masa ini, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) menyediakan latihan teknikal kepada kakitangan Sarawak Petchem dalam bidang operasi, penyelenggaraan dan kesihatan, keselamatan dan persekitaran.

Kumpulan pelatih pertama telah memulakan latihan teknikal mereka di INSTEP pada Ogos lalu melalui Latihan Dipimpin Tenaga Pengajar Maya.

Ditubuhkan pada Jun 2017, Sarawak Petchem akan menjadi syarikat pertama di negeri itu yang menghasilkan metanol, dengan kapasiti tahunan 1.7 juta metrik tan setahun (mtpa). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN