Petronas hantar LNG pertama ke China - Utusan Malaysia

Petronas hantar LNG pertama ke China

PENGHANTARAN LNG neutral karbon dilakukan dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas LNG Ltd., anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menandatangani perjanjian dengan China Shenergy Group Company Limited untuk penghantaran tiga kargo gas asli cecair (LNG) neutral karbon dari Kompleks LNG Petronas (PLC) di Bintulu, Sarawak.

Perjanjian itu akan menyaksikan penghantaran pertama LNG neutral karbon Petronas ke China, iaitu terminal Shenergy di Shanghai antara Oktober 2021 dan Mac 2022 selepas penghantaran pertama ke Jepun bulan lalu.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan Petronas LNG, Shamsairi Ibrahim berkata, pihaknya berbangga dapat meningkatkan perkongsian 15 tahun dengan Shenergy yang kini merangkumi bekalan karbon LNG neutral karbon.

“Ini sekali gus mencerminkan komitmen syarikat dalam menawarkan penyelesaian LNG neutral karbon ke pasaran.

“Sebagai pemain tenaga bersepadu, Petronas secara aktif mencari kerjasama dengan pembeli dan pengguna akhir untuk mencapai matlamat kemampanan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai perjanjian itu, wakil Presiden Shenergy, Wang Zhehong berkata, sebagai rakan kongsi dan pengguna LNG jangka panjang, pihaknya berbesar hati menerima penghantaran LNG neutral karbon Petronas ke China, sejajar dengan cita-cita negara untuk mencapai pelepasan karbon menjelang 2030.

“Ini merupakan tonggak yang bermakna bagi kedua-dua syarikat dalam usaha masing-masing untuk lebih peka terhadap alam sekitar dan mengurangkan jejak karbon kita,” ujarnya.

Shenergy kekal sebagai pembeli LNG utama dan rakan kongsi Petronas sejak 2006 selepas perjanjian bekalan jangka panjang yang pertama dengan anak syarikatnya, Shanghai LNG Co., Ltd.

Petronas mempertahankan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian LNG pilihan Shenergy apabila kedua-dua pihak membuat satu lagi perjanjian 12 tahun yang baharu tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN