Petronas Gas tawar EOI untuk tangki simpanan LNG baharu - Utusan Malaysia

Petronas Gas tawar EOI untuk tangki simpanan LNG baharu

KEMUDAHAN tangki simpanan LNG baharu Petronas Gas di Pengerang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerang LNG (Two) Sdn. Bhd. (PLNG2), 65 peratus anak syarikat Petronas Gas Berhad (PGB), mempelawa Pernyataan Minat (EOI) untuk cadangan tangki simpanan gas asli cecair (LNG) baharu di Pengerang, Johor.

EOI bertujuan membantu PLNG2 dalam menilai kebolehlaksanaan untuk membina storan tangki LNG ketiga di Terminal Penggasan Semula LNG daratnya di Pengerang (RGTP).

Petronas Gas dalam kenyataannya berkata, tertakluk kepada Keputusan Pelaburan Akhir projek, storan baharu itu dijangka siap menjelang suku keempat 2025.

“Kemudahan baharu yang dicadangkan itu mempunyai kelebihan daya saing yang tinggi kepada pelanggan kerana lokasinya yang strategik di sepanjang laluan perdagangan LNG global, ditambah dengan kemudahan pengegasan semula dan pemuatan semula sedia ada.

“Kemudahan itu akan menjadi penyelesaian yang berkesan untuk menyokong peningkatan dalam permintaan LNG di Asia, apabila dunia beralih ke landskap tenaga yang lebih bersih,” menurut kenyataan itu.

PLNG2 memiliki, mengendalikan dan menyelenggara RGTP, yang pada masa ini mempunyai dua tangki simpanan LNG dengan jumlah kapasiti 400,000 meter kubik.

Selain itu, ia juga menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk penggasan semula LNG dengan kapasiti 490 mmscfd serta pemuatan semula, pengegasan naik dan penyejukan.

Untuk menyertai EOI, pihak yang berminat dikehendaki mengemukakan cadangan mereka kepada PLNG2 melalui [email protected] selewat-lewatnya pada 30 November 2021.

Butiran EOI boleh didapati di laman web PGB di https://www.petronasgas.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN