Petronas buat penghantaran kargo LNG ke-50 - Utusan Malaysia

Petronas buat penghantaran kargo LNG ke-50

PETRONAS terus merekodkan kejayaan dengan penghantaran kargo LNG ke-50 dari kemudahan PFLNG SATU.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) me­raikan satu lagi kejayaan dalam teknologi gas asli cecair terapung (FLNG) selepas melakukan penghantaran kargo LNG ke-50 dari kemudahan FLNG pertamanya, Petronas LNG SA­TU Terapung (PFLNG SATU).

Kargo tersebut berjaya dimuatkan ke kapal induk Seri Cemara LNG yang dikendalikan oleh MISC Berhad untuk penghantaran ke Taiwan pada 25 September lalu.

Kargo ke-50 itu adalah pencapaian yang signifikan bagi Petronas sebagai pelopor dalam industri dan menunjukkan daya maju pengeluaran gas luar pesisir dengan penyelesaian FLNG sejak kargo pertama dihasilkan dari lapangan gas Kanowit, luar pesisir Sarawak pada 2017.

PFLNG SATU juga merupakan kemudahan FLNG pertama di dunia yang berjaya menghasilkan LNG dari dua lapangan gas terpencil ketika dipindahkan dari lapangan gas Kanowit ke lokasi semasa di lapangan gas Kebabangan, luar pesisir Sabah, pada 2019.

Naib Presiden Aset LNG Petronas, Abang Yusuf Abang Puteh berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian tersebut yang membuktikan kebolehpercayaan bertaraf dunia kemudahan FLNG pertama Petronas.

Ujarnya, lebih penting lagi, komitmen tenaga kerja Petronas dalam menyediakan bekalan LNG tanpa gangguan kepada pelanggan kami.

“Pencapaian ini menunjukkan kepemimpinan kami dalam industri LNG, di mana kami terus memanfaatkan kelebihan penggerak pertama kami untuk menjana lapangan gas terpencil dan terdampar dengan penyelesaian FLNG.

“Walaupun beroperasi dalam persekitaran mencabar ekoran pandemik Covid-19, PFLNG SATU telah menghasilkan dan mengeksport hampir 3.18 juta tan LNG dari lapangan gas Kebabangan dan Kanowit sejak 2017, sambil mengekalkan standard Kesihatan, Keselamatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

PFLNG SATU direka untuk beroperasi pada kedalaman air hingga 200 meter dengan kapasiti pengeluaran 1.2 juta tan LNG setahun.

Buat masa ini, Petronas adalah satu-satunya syarikat tenaga global di dunia yang memiliki dan mengendalikan dua kemudahan FLNG. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN