PETALING JAYA: CTOS Digital Berhad 1 (CTOS Digital) merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) tahun ke tahun kepada RM46.6 juta bagi tempoh sembilan bulan tahun ini berakhir 30 September lalu, di sebalik impak pandemik Covid-19.
Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 48.1 peratus daripada RM31.4 juta yang direkodkan tempoh sama tahun sebelumnya.
Ia didorong oleh pertumbuhan pendapatan yang kuat dan pengembangan bukan organik syarikat bersekutu.
Menurut CTOS Digital, perolehan Kumpulan berkembang sebanyak 15.8 peratus kepada RM114.4 juta daripada RM98.8 juta tempoh sama 2020.
Peningkatan perolehan itu katanya, dipacu oleh permintaan yang tinggi dari ketiga-tiga segmen pelanggan (Akaun Utama, Komersial dan Terus ke Pengguna).
“PATAMI yang dilaporkan meningkat 18.6 peratus kepada RM31.2 juta bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, berbanding RM26.3 juta pada tempoh sama 2020,” katanya dalam kenyataan.
Keuntungan daripada rakan sekutu CTOS Digital berjumlah RM5.6 juta, majoriti disumbangkan oleh Business Online Public Company Limited (BOL), penyedia maklumat kredit komersial dan pengurusan risiko terkemuka di Thailand.
CTOS Digital ketika ini memegang 22.65 peratus kepentingan di dalam BOL.
Menurut syarikat itu, pada suku ketiga berakhir 30 September 2021, PATAMI dinormalisasi Kumpulan melonjak 17.2 peratus kepada RM15.2 juta daripada RM13 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.
Ia berikutan peningkatan pendapatan sebanyak 13.4 peratus kepada RM38.6 juta daripada RM34 juta setahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Digital CTOS, Dennis Martin berkata, akaun utama Kumpulan dan segmen komersil kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan yang memberangsangkan di sebalik pelaksanaan beberapa kali lockdown.
“Dengan pembukaan kembali berbagai sektor ekonomi pada suku keempat 2021, kami menjangkakan pemulihan dalam pengambilan penyelesaian kami oleh pelanggan, sama seperti tempoh selepas sekatan sebelumnya,” katanya. – UTUSAN










