
PETALING JAYA: Insentif yang ditawarkan dalam Kempen Pemilikan Rumah (HOC) wajar diperluas ke pasaran hartanah sekunder bagi membolehkan pembeli rumah pertama mempertimbangkan hartanah dalam pasaran tersebut.
Itu antara cadangan yang dikemukakan peneraju laman web hartanah Malaysia, PropertyGuru untuk terus merangsang pasaran hartanah Malaysia dalam tempoh pemulihan ekonomi melalui Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan akhir bulan ini.
Analisis PropertyGuru DataSense mendapati, pasaran hartanah sekunder telah berkembang dengan stabil sejak beberapa tahun lalu, malah populariti transaksinya meningkat pada 2020 dan 2021 hasil impak pandemik Covid-19 kepada pasaran hartanah secara keseluruhannya.
PropertyGuru menegaskan, dengan meluaskan HOC ke pasaran sekunder, ia akan memberikan pengaruh besar bagi pasaran perumahan.
“(Ini) terutamanya kerana pengecualian duti setem dapat membantu mengurangkan kos awal yang berkaitan dengan pembelian rumah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Pengendali laman web itu juga mencadangkan supaya HOC dilanjutkan sehingga tahun hadapan bagi terus menggalakkan pembelian hartanah terutamanya dalam kalangan pembeli rumah pertama.
Tambahnya lagi, selain menggalakkan pembelian, kerajaan turut perlu membantu pemilik rumah semasa untuk mengekalkan kediaman mereka dalam keadaan yang mencabar akibat pandemik ketika ini.
Katanya, inisiatif kerajaan yang memberikan pengecualian sewa kepada golongan yang terjejas dan memanjangkan tempoh moratorium pembayaran sewa bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan Keluarga Malaysia berkaitan perumahan.
“Namun, lebih banyak yang dapat dilakukan untuk mereka dalam golongan B40 dan M40. Kami menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan pelepasan cukai pendapatan ke atas faedah terkumpul daripada pinjaman perumahan setelah moratorium berakhir.
“Kami berharap kerajaan melanjutkan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CHKT) tahun depan atau menurunkannya sementara rakyat Malaysia dan pasaran hartanah masih dalam proses pemulihan.
“Kami juga berharap kerajaan dapat memperkenalkan insentif sewa yang dapat memberi manfaat kepada penyewa dan tuan rumah,” katanya. – UTUSAN










