Perlu bantuan modal - Utusan Malaysia

Perlu bantuan modal

INDUSTRI pelancongan di Langkawi kembali ‘hidup’ selepas kerajaan membuka semula pulau berkenaan kepada pelancong. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri pelancongan bukan boleh pulih sekelip mata

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengutamakan suntikan modal dan bantuan khusus kepada penggiat industri pelancongan dalam Belanwan 2022 yang bakal dibentangkan, agar dapat ‘menghidupkan’ semula industri tersebut.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun K. C. Ahmmu berkata, walaupun sektor pelancongan mula dibenarkan beroperasi secara berperingkat, namun perniagaan penggiat industri tidak meningkat dalam sekelip mata.

Sebaliknya, ujar beliau, pemulihan sektor pelancongan mungkin memakan masa antara dua hingga tiga tahun lagi untuk pulih sepenuhnya berikutan langkah berjaga-jaga akibat pandemik Covid-19.

“Justeru, bantuan khusus daripada kerajaan amat diperlukan supaya kami mampu bertahan. Contohnya, geran pembiayaan sepadan untuk automasi dan digitalisasi sektor pelancongan, sesuai dengan keadaan semasa.

“Kerajaan juga boleh membantu dengan melanjutkan program subsidi upah sehingga akhir tahun kepada semua kakitangan sedia ada dalam industri ini termasuk yang dalam cuti tanpa gaji serta pekerja baharu.

“Ini kerana, ramai juga pekerja-pekerja dalam sektor pelancongan yang sebelum ini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dan bekerja sambilan untuk menampung kehidupan ketika Perintah Sekatan Pergerakan (PKP), kini mahu kembali bekerja selepas aktiviti pelancongan dibenarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Harun berpendapat, moratorium pinjaman automatik oleh institusi kewangan dan syarikat kredit khusus kepada penggiat industri pelancongan perlu dilanjutkan setahun lagi dari tarikh sempadan negara dan negeri dibuka nanti.

“Sempadan negara perlu dibuka secepat mungkin supaya sektor pelancongan dapat menjana kewangan dan ia boleh dilakukan dengan menjadikan umrah sebagai perintis bagi gerak mula.

“Selain itu, Pinjaman Penjana Tourism Fund (PTF) perlu dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM500,000.00 dengan kadar faedah yang rendah dan tempoh bayaran balik yang panjang, dengan bayaran balik pinjaman dimulakan selepas setahun.

“Perkara ini penting supaya kami dapat memastikan kewangan stabil. Jika pinjaman perlu dibayar terlalu awal, proses pemulihan sudah tentu terjejas,” ujarnya.

Tambah beliau, lanjutan pengecualian sewa selama enam bulan untuk penggiat industri yang menyewa premis perniagaan milik Kerajaan Persekutuan dan anak syarikat juga harus dipertimbangkan.

“Kita sudah teruk terjejas selama tempoh dua tahun ini dan sudah tentu memakan masa untuk mendapatkan kembali ‘rentak’ dalam perniagaan. Oleh itu, pertimbangan kerajaan amat ditagih supaya kami mampu terus bertahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN