Pergerakan penumpang meningkat - Utusan Malaysia

Pergerakan penumpang meningkat

Penjadualan semula penerbangan yang dibuat secara sembarangan boleh menjejaskan aktiviti penumpang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pergerakan penumpang domestik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada September meningkat 74 peratus berbanding bulan sebelumnya berikutan kejayaan gelembung pelancongan Langkawi dan kemajuan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

MAHB dalam satu kenyataan berkata, kerana lonjakan itu, Kumpulan telah menyaksikan peningkatan 55 peratus dalam jumlah pergerakan penumpang Malaysia pada bulan lalu kepada 458,000 penumpang, merangkumi 362,000 penumpang domestik dan 96,000 penumpang antarabangsa.

“Pergerakan pesawat domestik telah meningkat sekitar 20 peratus bulan lalu berbanding Ogos yang mencatatkan lebih 10,000 penerbangan.

“MAHB optimis trend perjalanan yang menggalakkan akan berlanjutan susulan pemansuhan sekatan perjalanan dalam negara dan antarabangsa,” katanya.

MAHB memberitahu, kejayaan gelembung pelancongan Langkawi semasa pelaksanaan awalnya antara 16 hingga 29 September, mencatatkan kira-kira 37,000 pergerakan untuk Kumpulan itu.

Ujarnya, syarikat penerbangan tempatan juga memanfaatkannya dengan AirAsia mencatatkan pergerakan pesawat tertinggi sebanyak 176 penerbangan dan mendominasi faktor purata tempat kepada 64 peratus dalam tempoh yang sama.

Jelasnya, trend kenaikan itu terus didorong oleh pemansuhan sekatan perjalanan antara negeri bermula bulan ini untuk semua kawasan di seluruh negara kecuali yang masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, MAHB berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gocken (ISG) merekodkan 2.7 juta pergerakan penumpang pada September.

“ISG kekal menjadi penyumbang utama kepada pergerakan penumpang keseluruhan Kumpulan iaitu 3.2 juta penumpang bulan lalu. ISG terus menunjukkan pemulihan kukuh disokong lonjakan kadar vaksinasi dan kelonggaran rentas sempadan di Eropah,” jelasnya.

Bagi operasi kargo MAHB, Kumpulan itu menerima kemasukan syarikat penerbangan China Central Longhao Airlines ke Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan kepentingan kargo udara dalam landskap penerbangan tempatan terutama dari kesan buruk akibat pandemik Covid-19.

MAHB berkata, jumlah operasi kargo bagi Kumpulan sehingga September menunjukkan peningkatan 24 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan 726,800 tan kargo.
“Ia kekal menjadi pemacu penting kepada pemulihan industri penerbangan dan ekonomi,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN