
PETALING JAYA: Sepanjang menghadapi pandemik Covid-19, kerajaan membelanjan berbilion ringgit untuk membantu rakyat dan penyokong perniagaan bagi memastikan ekonomi negara tidak runtuh.
Menuju pemulihan ekonomi, terdapat keperluan untuk kerajaan merapatkan jurang fiskal dan meningkatkan pendapatan bukan sahaja melalui kutipan cukai yang lebih tinggi, malah dengan menambah baik pentabiran cukai negara.
Ernst & Young Tax Consultants Sdn. Bhd. (EY) berpendapat, dalam mempertimbangkan peningkatan pendapatan cukai, kerajaan perlu menimbang tara kesannya kepada sentimen ekonomi, pelabur dan perniagaan.
Kata syarikat perunding itu, dasar percukaian perlu mesra perniagaan dan pelabur, berdasarkan prinsip lebih banyak perniagaan dan pelaburan yang dapat ditarik dan dikekalkan negara, lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta.
Situasi ini akhirnya akan meningkatkan pendapatan cukai untuk negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Pada masa sama, ada keperluan untuk memikirkan dan mereka semula sistem pentadbiran cukai.
“Hari ini, tanggungjawab diletakkan kepada pembayar cukai untuk mematuhi peraturan cukai dan masih terdapat kebergantungan yang tinggi kepada pembayar cukai untuk mengisytiharkan pendapatan untuk tujuan cukai.
“Ini membawa kepada kebocoran pendapatan cukai yang besar disebabkan pendapatan dan hasil boleh cukai yang tidak diisytihar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut EY, ketika banyak perbincangan dilakukan bagi memperkenalkan cukai baharu dalam Bajet 2022, tumpuan turut perlu diarahkan kepada penambahbaikan dan usaha meringkaskan fungsi pentadbiran cukai.
Katanya, usaha tersebut penting bagi memastikan sistem pentadbiran cukai negara telus dan mudah digunakan, sekali gus menggalakkan tadbir urus, kesaksamaan dan keterangkuman yang baik.
“Ketika ini, pentadbir cukai mengalami gangguan termasuk naik turun ekonomi, sektor industri baharu seperti ekonomi gig, model perniagaan dan rantaian bekalan baru muncul, jangkaan pemegang taruh yang pelbagai, kemajuan teknologi dan pembangunan antarabangsa yang sentiasa berubah.
“Dalam masa sama, akses kepada maklumat dan data jauh lebih baik ketika ini. Untuk menjadi berkesan, pentadbir cukai perlu mampu mengutip, menganalisis dan menggunakan data dengan efektif.
“Mereka juga perlu bekerjasama lebih rapat dengan pembayar cukai bagi memahami lanskap dan keperluan perniagaan yang berubah untuk melaksanakan pematuhan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN










