PETALING JAYA: Pepsi telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) untuk Konsert Realiti Terimbuh (Augmented Reality (AR)) yang pertama dianjurkan di negara ini.
Konsert itu yang ditawarkan secara eksklusif untuk peminat perisa Pepsi Black Raspberi dalam tempoh terhad dari 16 April hingga 16 Mei lalu, mendapat sambutan luar biasa.
Konsert terbabit menampilkan artis popular Siti Nordiana selain tiga pemenang cabaran ujibakat #PepsiBoldTalent iaitu Bell (penari), Aidil (pemain bola sepak gaya bebas) dan Syafeek (penyanyi).
Untuk menyaksikan konsert tersebut, para peminat diminta mendapatkan sebotol Pepsi Black Raspberi, melayari laman sesawang konsert AR, mengimbas botol dan seterusnya menyaksikan konsert yang dimainkan pada botol berkenaan.
Sijil disampaikan oleh Perunding Rekod Kanan Malaysia Book of Records, Edwin Yeoh kepada Ketua Pemasaran Minuman PepsiCo, Jennifer Lee.
Pengarah Pemasaran Kanan PAC PepsiCo, Salman Butt berkata, pengguna menjadi tumpuan utama PepsiCo dan sebagai jenama yang menggunakan muzik untuk berhubung dengan peminat, syarikat berusaha mencari cara baharu untuk berkongsi muzik dengan mereka, lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik.
“Membuat keputusan untuk menganjurkan Konsert AR pertama di Malaysia adalah cara kami menyalurkan semangat perintis jenama kami dan keperibadian berani Pepsi Black, sambil menawarkan peluang baharu kepada pengguna untuk mencabar kelaziman,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Jennifer berkata, pengiktirafan itu sangat bermakna dan PepsiCo sentiasa berusaha memberikan pengalaman baharu dan keriangan kepada peminat setia dan pengguna lain di negara ini.
“Kami berharap, orang ramai yang menyaksikan Konsert AR tersebut merasakan ia adalah pengalaman yang menyegarkan, dengan kombinasi cara baru untuk menikmati muzik, lagu terbaru Siti Nordiana dan juga bakat tempatan baharu yang mungkin tidak dikenali oleh ramai rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










