PETALING JAYA: Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang menawarkan pengecualian faedah pinjaman kepada Kumpulan B50 dilihat sebagai satu program bersifat jangka pendek kepada rakyat.
Penganalisis Ekonomi, Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, pengecualian tersebut merupakan satu program sokongan jangka pendek dan hanya memastikan rakyat mempunyai pendapatan yang cukup demi kelangsungan hidup.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dengan memperbanyakkan lagi pembukaan sektor-sektor ekonomi dalam negara.
“Mewujudkan peluang pekerjaan adalah langkah yang penting demi masa depan rakyat. Rakyat memperoleh pendapatan hasil daripada pekerjaan. Jadi, rakyat tidak hanya bergantung kepada pinjaman semata-mata.
“Pengecualian pinjaman tersebut sekiranya tidak digunakan secara berhemah, ia boleh memberi ancaman dan timbul masalah kewangan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, kerajaan memperkenal program URUS yang menawarkan pengecualian faedah untuk tiga bulan dan pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah bagi Kumpulan B50.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program berkenaan dilaksanakan sektor perbankan dalam masa terdekat yang turut merangkumi peminjam dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka berpendapatan kasar kurang dari RM5,880 sebulan.
Mohd. Yusof berkata, kelonggaran merentas negeri yang dibenarkan oleh Perdana Menteri sedikit sebanyak dapat meningkatkan kembali ekonomi dan merancakkan sektor pelancongan domestik.
“Saya jangkakan kadar pengangguran akan turun lebih banyak kerana kesan positif daripada langkah Perdana Menteri membenarkan rentas negeri dibuka. Justeru, saya harapkan kerajaan dapat memperluaskan lebih banyak sektor ekonomi pada masa hadapan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Afzanizam Abdul Rashid berkata, bagi memastikan rakyat terutamanya Kumpulan B50 dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik, fokus kepada mewujudkan peluang pekerjaan serta usaha untuk menggalakkan aktiviti keusahawanan perlu diberikan perhatian yang lebih.
Katanya, peranan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta belanjawan tahunan menjadi faktor pemangkin kepada usaha untuk mengaktifkan semula kegiatan ekonomi yang sudah lama terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 bilion merupakan isyarat kepada rakyat bahawa kerajaan begitu komited untuk memastikan semua golongan akan dapat keluar daripada kemelut Covid-19 dan seterusnya bergerak ke hadapan untuk menjadi sebuah negara yang maju.
“Dalam hal ini, pembinaan kapasiti melalui program latihan dan pendidikan merupakan perkara terpenting kerana mereka yang kehilangan pekerjaan ataupun perniagaan yang sudah gulung tikar akan dapat mencuba nasib ke sektor atau perniagaan yg lain,” katanya.
Afzanizam berkata, bantuan seperti pinjaman mikro serta geran perlu dipertingkatkan bagi memberi modal permulaan untuk meneruskan semula atau membina perniagaan yg baru.
Beliau berkata, program pemadanan pekerjaan diantara bakal majikan dan pencari pekerjaan perlu diperluaskan dan diwawarkan dengan komprehensif supaya mereka kehilangan pekerjaan dapat mencari pekerjaan dalam tempoh singkat.
“Bantuan dan program tersebut telah dilaksanakan melalui pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Namun, yang penting adalah untuk memantau keberkesanan setiap program, peratusan mengikuti program serta perkembangan pasca penerimaan bantuan,” ujarnya. – UTUSAN










