
SEREMBAN: Syarikat Hazieq Resources yang menyediakan perkhidmatan pesanan barang dapur secara dalam talian iaitu Pasar Online Nismilan menyasarkan untuk memperluas pasaran ke seluruh Negeri Sembilan tahun depan.
Pemiliknya, Muhammad Haziq Farhanuddin Abd. Hamid, 23, berkata, dalam tempoh pandemik Covid-19 dengan pergerakan yang terbatas, orang ramai lebih memilih untuk membeli barang dapur seperti ayam, ikan, daging dan sayur secara dalam talian.
Muhammad Haziq berkata, bagi memudahkan orang ramai, Pasar Online Nismilan turut menyediakan barang dapur dengan pakej siap siang dan bersih seterusnya dihantar terus ke rumah pelanggan.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan pelanggan terutama golongan ibu bekerjaya serta suri rumah memaklumkan perkhidmatan Pasar Online Nismilan memudahkan kerja dapur mereka.
“Pelanggan hanya perlu membuat pesanan sehari sebelum, bayar dan tunggu barang tiba, sangat mudah tanpa perlu bersesak-sesak ke pasar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premis kedainya di Senawang dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Muhammad Haziq, Pasar Online Nismilan mula beroperasi pada Julai 2020 dan ia mula berkembang.
“Dalam sehari Pasar Online Nismilan menerima lebih 100 pesanan dan penghantaran dibuat bermula pukul 11.30 pagi di beberapa lokasi termasuk Seremban, Nilai, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau dan Jelebu.
“Kami menyasarkan untuk memperluas kawasan perkhidmatan ke seluruh Negeri Sembilan meliputi daerah Tampin dan Jempol tahun depan,” katanya yang menjalankan perniagaan itu bersama rakan kongsi, Muhammad Safwan Mohd. Ghazali, 23.

Berkongsi kisah perniagaannya, Muhammad Haziq yang merupakan guru mengaji al-Quran dan pernah menjual ketam di tepi jalan berkata, pada peringkat awal dia menjalankan perniagaan dari rumah dan hasil keuntungan yang diperoleh kini dia mampu beroperasi di sebuah kedai bermula pada Februari lalu serta berkongsi rezeki dengan menggaji seramai 20 pekerja.
“Setakat ini, saya mempunyai ejen di Kuala Pilah dan Nilai serta berhasrat menambah ejen bagi meningkatkan ekonomi serta membantu individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ini.
“Selain itu, kami sentiasa memastikan barang dihantar adalah berkualiti dan segar, makanan laut seperti ikan, udang, ketam dihantar terus oleh pembekal dari Jeti Kuantan, Pahang,” katanya lagi.
Jelas Muhammad Haziq, bertepatan dengan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, Pasar Online Nismilan turut menyediakan set barang basah PKP pada harga RM50 hingga RM100 dengan pakej siap siang, bersih dan penghantaran.
“Sekarang ramai yang terjejas, jadi dengan set barang basah PKP pada harga RM50 mereka dapat membeli barang dapur untuk keluarga yang mengandungi seekor ayam, ikan pelaling, kembung dan cencaru dengan berat 500 gram bagi setiap jenis ikan.
“Selain itu, pelanggan juga boleh memilih sendiri barang basah, sayur atau bahan kering yang dikehendaki dan kami akan siapkan,” ujarnya yang memberitahu, kebanyakan pelanggan terdiri daripada anak merantau yang membeli barang dapur untuk ibu bapa mereka. – UTUSAN
INFO Pasar Online Nismilan
Nama syarikat : Hazieq Farhan Resources
Alamat : 54-G Jalan Dataran Kemuning 2, Dataran Kemuning, 70450 Senawang, Negeri Sembilan.
Nombor telefon: 010-6564235
Instagram : @pasaronlinenismilan
Facebook : @Pasar Online N9 – UTUSAN










