Pacu pemulihan ekonomi negara - Utusan Malaysia

Pacu pemulihan ekonomi negara

TAHAP keberhutangan negara diunjur semakin berkurangan selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh. -GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kebenaran rentas negeri dan negara bermula hari ini mampu mempercepat pemulihan ekonomi negara sekali gus mencapai sasaran 3.0 hingga 4.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Pemulihan tersebut juga bakal memberi lonjakan ekonomi kepada industri pelancongan dan pengangkutan negara yang teruk terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, rantaian nilai industri pelancongan akan menerima lonjakan luar biasa ekoran peningkatan jumlah pelancong misalnya bagi pengusaha bas ekspres, agensi pelancongan, hotel dan rumah penginapan bagi suku terakhir tahun ini.

Ujarnya, keputusan ini diharap mampu membantu mencapai unjuran KDNK negara memandangkan sebelum ini industri tersebut menyumbang 15 peratus daripadanya.

“Kadar pengangguran yang menurun sebelum ini juga mungkin dapat dipulihkan kerana sudah tentu pengusaha perlu mengambil tenaga kerja baharu bagi memenuhi permintaan yang datang mendadak.

“Pengusaha aktiviti pelancongan ini memerlukan masa untuk perniagaan mereka kembali seperti dahulu terutamanya modal pusingan, namun kebenaran kerajaan ini sudah cukup memberikan permulaan yang positif kepada industri yang hampir lumpuh untuk bernafas kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran merentas negeri dan negara bagi bermula hari ini selepas kadar vaksinasi populasi dewasa melepasi 90%.

Menurut beliau, dengan keputusan tersebut, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan terutama balik kampung berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Emmy Suraya Hussein menegaskan,, kerajaan perlu mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) sektor pelancongan dan perhotelan dengan kadar segera bagi memastikan kelancaran operasi tanpa sebarang isu berbangkit.

“Industri perhotelan masih berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka dan kebenaran rentas negeri hanya menyumbang sedikit peningkatan. Justeru, kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia harus menyelesaikan ancaman-ancaman industri bagi melihat pemulihan yang ketara,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Mobility Malaysia (SOCAR), Leon Foong pula memberitahu, SOCAR dan TREVO bersedia memenuhi permintaan pengangkutan darat yang bakal melonjak naik.

“Lebih ramai orang yang ingin memandu sendiri ke destinasi pilihan mereka dan menikmati kebebasan dengan menggunakan kereta persendirian dalam perjalanan mereka.

“Kami menawarkan akses kepada kereta-kereta persendirian secara sementara melalui perkhidmatan perkongsian kereta seperti SOCAR atau tempat pasaran perkongsian kereta berkonsep dari individu ke individu (P2P) seperti TREVO, seterusnya memperkasakan rakyat Malaysia yang inginkan kenderaan persendirian untuk tempoh sementara bagi pengangkutan seharian atau perjalanan yang lebih jauh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden dan Ketua OYO Malaysia dan Singapura, Tan Ming Luk memaklumkan, pengumuman kebenaran rentas negeri ini akan memberi kesinambungan positif kepada sektor ekonomi perhotelan negara.

“Kami komited untuk terus menyokong pelancongan dan berusaha untuk membuka kembali dan memulihkan negara sepenuhnya. Semua hotel rakan kongsi OYO kami (etalase) kini dibuka dan sedia untuk melayani pelancong di seluruh Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN